BAHAN binaan acuan aluminium dalam treler dirampas.
Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my


Johor Bahru: Polis menumpaskan dalang di sebalik kegiatan mencuri dan menjual acuan aluminium bernilai RM100,000 dengan tertangkapnya seorang pemandu treler bersama-sama empat pengusaha barangan lusuh dalam serbuan di Kempas dan Bandar Seri Alam, pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, semua suspek berusia 38 hingga 40-an dicekup antara jam 4 hingga 5 pagi selepas disyaki terbabit mencuri, membeli dan menjual 5.79 tan acuan berkenaan yang dilarikan dari sebuah tapak pembinaan di Danga Bay, di sini, Ahad lalu.

Katanya, siasatan mendapati akibat terdesak mendapatkan wang, pemandu treler sanggup menjual acuan aluminium jauh lebih rendah berbanding harga pasaran.

“Pemandu treler hanya menjual barangan curi berkenaan pada harga RM6,000, sedangkan bahan berkenaan mencecah RM100,000 mengikut harga pasaran.

“Kegembiraannya berjoli hasil jualan haram kepada empat pengusaha barang lusuh di sekitar bandar raya ini tidak bertahan lama apabila mereka yang berusia 38 hingga 40 an ditahan polis,” katanya pada sidang media di Balai Polis Bandar Dato’ Onn, di sini, semalam.

Katanya, mereka yang ditangkap direman empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan 411 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan membeli barang curi.

“Suspek utama iaitu pemandu treler berusia 38 ditangkap kira-kira 4 pagi tadi (semalam) di kediamannya di Kempas.

“Susulan itu empat lagi suspek yang juga pengusaha barangan lusuh yang bertindak membeli acuan berkenaan ditangkap dengan tangkapan terakhir kira-kira 5 pagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2016 @ 8:51 AM