Norsabrina bersama Norezzq yang kelihatan ceria di rumahnya di Sungai Udang.
myMetro

Melaka: Penderitaan Norezzq Humaira Mohd Rezza Azren, 6, yang mengalami masalah jantung berlubang dan rosak mendapat perhatian pelbagai pihak, sekali gus melegakan ibu bapanya yang sebelum ini resah dengan keadaan anak mereka.

Ibunya Norsabrina Mohd Fauzi, 29, berkata, bantuan dihulurkan itu memberi harapan kepadanya dan suami Mohd Rezza Azren Abd Ghafar, 31, untuk melihat anaknya hidup normal seperti kanak-kanak lain.

Terdahulu, keluarga itu dikunjungi wakil Tabung Kemanusiaan Media Prima Berhad (MPB)-The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) yang menghulurkan sumbangan disampaikan Ketua Biro Harian Metro Melaka Mohd Salman Hamat.

Norsabrina berkata, dia terharu kerana tidak putus menerima sumbangan pembiayaan kos pembedahan menggantikan injap jantung anaknya dianggarkan RM27,000.

“Lebih melegakan urusan suami menubuhkan kumpulan busker juga hampir selesai.

“Selain itu, rakan turut menviralkan laporan akhbar Harian Metro mengenai penderitaan Norezzq Humaira melalui Facebook dan kami menerima maklum balas positif daripada orang ramai yang menyatakan hasrat mahu membantu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Sidang Ali, Sungai Udang di sini, semalam.

Ibu kepada dua anak itu berkata, dia bagaimanapun tidak mahu terlalu selesa dengan perkembangan itu berikutan buah pinggang dan paru-paru anaknya berisiko terjejas akibat jangkitan kuman.

“Saya resah memikirkan laporan pemeriksaan darah Norezzq Humaira yang bakal diketahui Selasa ini (esok), saya berharap buah pinggang dan paru-parunya tidak terjejas,” katanya.

Khamis lalu Harian Metro melaporkan mengenai ikhtiar Norsabrina dan suami mengumpul dana termasuk menubuhkan kumpulan busker dalam usaha mereka membiayai kos rawatan anaknya itu.

Pada 21 Februari lalu, Norezzq Humaira dikejarkan ke wad akibat demam dan badannya dipenuhi bintik merah yang pada mulanya disangka demam campak.

Hasil ujian dilakukan mendapati kanak-kanak itu sebenarnya menghidap denggi, keadaannya bertambah kritikal dan segera dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kira-kira jam 8 malam hari sama.

Ujian imbasan dilakukan mendapati hati, ginjal dan jantung kanak-kanak itu dijangkiti kuman selain mengesan lubang pada jantung, lebih menyedihkan ketika itu doktor memaklumkan peluang Norezzq Humaira untuk hidup hanya 50-50.

Orang ramai mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi cek atas nama Media Prima-NSTP Humanitarian Fund dengan menulis nama pesakit di belakang cek dan dihantar ke Jabatan Kumpulan Komunikasi Korporat, Media Prima Berhad, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur atau menghubungi talian 03-27248977.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2016 @ 7:59 AM