JAMIL
Iskandar Shah Mohamed

Kuala Lumpur: “Terpaksa lah tunggu 70 tahun,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) yang tersenarai sebagai bakal haji terpaksa menunggu sehingga tempoh itu sekiranya mendaftar semula selepas mengeluarkan keseluruhan caruman dan menjejaskan deposit haji masing-masing.

Menurut Jamil Khir, tiada kaedah lain dapat membantu pendeposit itu mendapatkan gilirannya seperti sebelum berhenti menjadi pendeposit haji.

“Jika mengeluarkan caruman akibat termakan hasutan, mereka (pendeposit) bukan saja terlepas daripada mendapat dividen dan bonus, malah mereka yang sudah mendaftar haji turut akan terlepas peluang itu.

“Selepas datang semula mendaftar haji sekalipun, mereka terpaksa beratur semula sama seperti pendaftar haji baru,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) yang ingin penjelasan kesan terhadap tuduhan rambang dan analisis separuh masak serta penyebaran surat Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung kedudukan kewangan TH.

Terdahulu, Jamil Khir diaju pertanyaan lisan Lim Guan Eng (PKR-Bagan) yang mahu Perdana Menteri menyatakan senarai status aset dan liabiliti terkini institusi kewangan ekoran pendedahan BNM bahawa TH tidak mempunyai aset mencukupi berbanding tanggungan liabiliti.

Menurut beliau, kedudukan kewangan TH kukuh bagi tahun lalu walaupun mendapat teguran BNM.

“Keuntungan TH bagi tahun kewangan 2015 adalah keuntungan tertinggi sejak ditubuhkan pada 1963.

“Keuntungan bersih TH bagi tahun 2015 ialah sebanyak RM3.5 bilion dan bayaran bonus sebanyak RM3.2 bilion bagi tahun sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2016 @ 9:02 AM