myMetro

Muar: Pengunjung bertuah Program Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s di Dataran Tanjung Emas, di sini, Sabtu ini, berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk TV LED 40 inci.

Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro [email protected] Bachok berkata, selain konsert mini yang bakal menampilkan artis seperti Indah Ruhaila, Sandra, Forteen, Wani, Amelina dan Asfan bermula jam 9 malam Sabtu ini, penganjur akan mengadakan cabutan bertuah kepada pengunjung.

“Program jelajah ini adalah cara kami mengucapkan terima kasih kepada pembaca setia sempena sambutan ulang tahun ke-25 Harian Metro.

“Selain berhibur bersama keluarga sempena cuti sekolah, kami menyediakan cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik seperti TV LED 40 inci, Samsung Galaxy Tab 3, telefon pintar Samsung Galaxy J1 Ace dan pelbagai hadiah lain.

“Malah, Muar dipilih kerana kedudukannya yang membolehkan pembaca di selatan seperti Johor, Melaka dan Negeri Sembilan datang dan menyaksikan konsert mini,” katanya.

Menurutnya, program jelajah bertujuan menghargai pembaca Harian Metro merangkumi wilayah utara, selatan, timur, Sarawak dan Lembah Klang.

Katanya, selain konsert mini, penganjur menyediakan pelbagai aktiviti lain seperti pertandingan mewarna, seni pasir serta buih gergasi.

Pada masa sama, katanya, penaja, Yeo’s dan Cactus akan menganjurkan beberapa aktiviti menarik untuk pengunjung.

“Lebih menarik, kami akan membawa artis ke Pasaraya TF Value Mart Muar, kira-kira jam 8 malam Jumaat ini untuk sesi bertemu bersama peminat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2016 @ 9:42 AM