Muhammad Firdaus (kanan) bersama empat pelajar yang meraih pingat gangsa kategori junior Asia Anugerah Reka Cipta dan Inovasi pada Ekspo Teknologi Malaysia 2016.
myMetro

Kuala Lumpur: Empat pelajar Sekolah Menengah Islam Antarabangsa Malaysia (IISMS) melakar kejayaan tersendiri apabila meraih pingat gangsa pada Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini.

Pasukan IISMS untuk Kategori Junior bagi Anugerah Reka Cipta dan Inovasi Asia itu diwakili Muhammad Naim, Abdel Rahman, masing-masing 16 tahun, Mosaab Adil, 17, dan Abid Junaid, 15.

Mereka diiringi koodinator projek, Muhammad Firdaus yang mempertaruhkan projek menarik ‘Penghembus Hidung’ (Noseblower).

Pengurus Besar IIUM Lower Education Sdn Bhd (IIUMLESB), Khaharuddin Abdul Rahman berkata, kejayaan empat pelajar itu cukup membanggakan kerana ia adalah penyertaan pertama sekolah terbabit dalam ekspo bertaraf antarabangsa.

“Meskipun ia adalah penyertaan sulung kami dalam ekspo berkenaan, namun empat pelajar ini mampu bersaing dengan lebih 200 penyertaan dari pelbagai negara Asia,” katanya.

Beliau berkata, kesungguhan dan kreativiti saintis muda dalam produk inovasi serta reka cipta industri teknologi sains nyata berbaloi apabila dipilih memenangi pingat gangsa kategori junior.

“Kejayaan ini besar ertinya dan ia akan menjadi pendorong untuk menyertai ekspo bertaraf antarabangsa akan datang bagi mengharumkan nama Malaysia dan sekolah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2016 @ 8:22 AM