NOH (kanan) beramah mesra dengan PPMD dan Penyelia Kemahiran Guru KAFA ketika menghadiri Program Ramah Mesra yang diadakan di Bilik Mesyuarat Haji Nong JAIS.
Na’imah Mohamed
hmetroshahalam@hmetro.com.my

Shah Alam: Majlis Tindakan Ekonomi Persekutuan Negeri Selangor (MTEPNS) kesal dengan tindakan kerajaan negeri yang dilihat tidak mengambil berat kebajikan tenaga pengajar agama apabila elaun mereka tidak setara dengan pendapatan negeri.

Pengerusi MTEPNS Datuk Seri Noh Omar berkata, kerajaan negeri sepatutnya menjaga kebajikan ketua dan guru agama memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Menurutnya, bagi membantu golongan itu, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan hampir RM38 juta kepada Selangor bagi membiayai imbuhan bulanan imam masjid, guru Kelas Fardu Ain (KAFA), Program Kelas Takmir dan Pegawai Penyelaras Masjid Daerah.

Beliau berkata, peruntukan itu diberikan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi menampung kos sara hidup golongan yang terbabit dalam memartabatkan Islam di negeri ini.

“Kerajaan negeri sepatutnya menambah jumlah itu setara dengan hasil perolehan yang dibanggakan selama ini.

“Sebagai contoh, elaun diberikan Kerajaan Persekutuan kepada guru KAFA ialah sebanyak RM800 dan ditambah kerajaan negeri sebanyak RM700 menjadikan jumlah keseluruhan RM1,500.

“Bagi imam masjid pula, elaun diberikan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM750 dan kerajaan negeri hanya menambah RM150. Kita dapati ini sangat tidak berpatutan memandangkan mereka menjadi ketua agama di daerah masing-masing,” katanya selepas menghadiri Program Ramah Mesra Bersama Penyelaras Pentadbiran Majlis Daerah (PPMD) dan Penyelia KAFA Selangor, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Ahmad Zaki Arsad dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.

Noh berkata, kebajikan guru Takmir juga dilihat dipinggirkan apabila golongan yang bertanggungjawab memberikan dakwah langsung hanya menerima sebanyak RM800 daripada Kerajaan Persekutuan tetapi kerajaan negeri tidak memberikan sebarang elaun.

“Jumlah guru Takmir di negeri ini hanyalah 300 orang, mustahil hasil negeri yang berbilion itu langsung tidak dapat diperuntukkan untuk mereka.

“Malah, saya difahamkan kenaikan elaun guru KAFA sebanyak RM200 yang sebelum ini diumumkan juga hanya untuk yang berkhidmat lebih daripada 15 tahun dan yang kurang daripada itu tidak layak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2016 @ 8:24 AM