JAMALUDIN (kanan) berbincang bersama Husain (tiga dari kiri) bagi persedian Program Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo's di MPM, Muar.
Ibrahim Isa
ibrahim_isa@hmetro.com.my

Muar: Majlis Perbandaran Muar (MPM) menyambut baik penganjuran Program Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s di Dataran Tanjung Emas di sini, Sabtu ini dan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan program berkenaan berjalan lancar.

Yang Dipertuanya, Jamaludin A Hamid berkata, pihaknya berbesar hati apabila Muar dipilih menjadi lokasi penganjuran program berkenaan yang disifatkan ia bukan saja penghargaan kepada pembaca Harian Metro malah kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu juga.

“Kami berharap semuanya berjalan lancar dan kerjasama erat antara PBT dan Harian Metro akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya pada Mesyuarat Penyelaras Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s di Bilik Mesyuarat MPM, semalam.

Sementara itu, Koordinator Program Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s, Husain Jahit berkata, selain mengambil bahagian dalam pelbagai acara yang disediakan seperti pertandingan mewarna, seni pasir serta buih gergasi, pengunjung boleh menyertai aktiviti kendalian penaja, Yeo’s dan Cactus.

Katanya, lebih menarik Harian Metro membawa barisan artis seperti Indah Ruhaila, Sandra, Forteen, Wani, Amelina dan Asfan bertemu peminat di Pasaraya TF pada jam 8 malam, Jumaat ini.

“Peminat boleh bersuai kenal dan bergambar bersama artis kesayangan mereka sebelum menyaksikan konsert mini bermula jam 9 malam, Sabtu ini.

“Kami menawarkan cabutan bertuah dengan pemenang pertama membawa pulang TV LED 40” dan pelbagai hadiah lain seperti Samsung Galaxy Tab 3; telefon pintar Samsung Galaxy J1 Ace dan pelbagai hadiah lain.

“Ia adalah cara kami mengucapkan terima kasih kepada pembaca sempena sambutan ulang tahun ke-25 Harian Metro,” katanya.

Katanya, pembaca boleh sertai pelbagai aktiviti bermula jam 4 petang Jumaat ini. Bagaimanapun jika cuaca terlalu panas mereka mungkin memulakan aktiviti selepas jam 5 petang.

Program akan ke Padang MPK3, Kuantan, Pahang (25 dan 26 Mac) dan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur membabitkan persembahan penyanyi terkenal seperti Datuk Jamal Abdillah, Ella, Amy Search, XPDC, Siti Nordiana, Ezad Lazim dan Ayda Jebat pada 2 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2016 @ 8:44 AM