LOKASI strategik Pasaraya TF Value-Mart memudahkan pengunjung berjumpa dengan artis.
Shaiffulazhar Misri

Muar: Peluang orang ramai untuk bertemu dengan beberapa artis jemputan sempena Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro Bersama Yeo’s Yeogurt terbuka luas dengan sesi ramah mesra akan diadakan di Pasar Raya TF Value- Mart, Jalan Salleh, dekat sini, esok bermula jam 8 malam.

Orang ramai termasuk penduduk di daerah ini bakal menerima kehadiran artis terkenal seperti Forteen, Amelina, Asfan, Sandra dan Indah Ruhaila sempena konsert berkenaan pada 19 Mac ini, bermula jam 4 petang hingga 11 malam di Dataran Tanjung Emas, di sini.

Pengurus Operasi TF Value Mart Sdn Bhd (Muar), Muhammad Shafiq Abdullah berkata, pasar raya yang dibuka pada September tahun lalu itu mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk memeriahkan hari beramah mesra bersama artis dengan menyediakan lebih 250 lot parkir.

“Sempena Konsert Jelajah yang akan berlangsung pada 18 dan 19 Mac ini, kami menyediakan lokasi yang luas kepada orang ramai bertemu dengan artis pujaan mereka.

“Ia tanda sokongan kami kepada penganjur yang memilih daerah Muar sebagai lokasi tumpuan program ini,” katanya.

Selain itu, pihaknya mengalu-alukan agensi kerajaan dan bukan kerajaan untuk mengadakan program serta kempen di pasar raya kerana memiliki kawasan yang luas selain membantu menjana ekonomi peniaga di kawasan perniagaan yang baru dibina itu.

Menurut Shafiq, pihaknya juga mempunyai beberapa program pada bulan hadapan membabitkan karnival keusahawanan bermatlamat memperkembangkan kegiatan perniagaan di kawasan berkenaan.

“Pada April ini, kami mempunyai program tahunan bagi cabutan bertuah untuk pelanggan Pasar Raya TF dan Karnial Perkahwinan akan diadakan di kawasan ini dengan keluasan kira-kira 1.6 hektar.

“Oleh itu, pilihan lokasi daripada pihak Harian Metro dan Yeo’s adalah tepat dan berharap ia akan diteruskan pada masa akan datang dengan pelbagai lagi program yang lebih menarik,” katanya.

Konsert Jelajah Ledakan 25 tahun Harian Metro Bersama Yeo’s Yeogurt turut menawarkan hadiah cabutan bertuah iaitu sebuah televisyen LED saiz 40 inci, Samsung Galaxy Tab, dan telefon pintar Samsung bagi penonton yang hadir di Dataran Tanjung Emas.

Selain itu, orang ramai boleh mendapatkan risalah jelajah karnival di Pasar Raya TF Muar bagi menebus dua pek Yeo’s Yeogurt 250 ml di lokasi konsert sementara stok masih ada.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 9:43 AM