LAPORAN muka depan Harian Metro pada 1992.
LAPORAN muka depan Harian Metro pada 1992.
SAAT beregu Malaysia, Beng Kiang dan Soon Kit meraikan kemenangan menundukkan beregu Indonesia.
SAAT beregu Malaysia, Beng Kiang dan Soon Kit meraikan kemenangan menundukkan beregu Indonesia.
PEMINAT badminton Malaysia memberi sokongan padu kepada pasukan kita.
PEMINAT badminton Malaysia memberi sokongan padu kepada pasukan kita.
Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Walaupun sudah hampir 25 tahun, kejayaan manis skuad negara menjulang Piala Thomas 1992 yang juga kali terakhir Malaysia memenangi piala berprestij itu masih kekal dalam ingatan bekas pemain beregu negara, Cheah Soon Kit.

Apa tidaknya, selain berada dalam senarai pemain beraksi pada perlawanan akhir ketika menewaskan Indonesia di Stadium Negara itu, mungkin ramai sudah lupa Soon Kit pemain yang melakukan servis terakhir yang membawa kepada mata kemenangan untuk Malaysia.

Bagi Soon Kit sendiri, detik manis itu akan sentiasa diingati sepanjang bergelar pemain profesional selain memenangi pingat perak Sukan Olimpik 1996.

Menceritakan kembali detik final itu yang berlangsung pada 16 Mei 1992, Soon Kit yang bergandingan dengan Soo Beng Kiang berkata, hanya dirinya yang tahu bagaimana sukarnya melakukan servis terakhir itu ketika bertemu pasangan Ricky Subagja-Rexy Mainaky.

“Sebelum turun beraksi, Malaysia sudah mendahului Indonesia 2-1 hasil kemenangan Rashid Sidek dan Foo Kok Keong.

“Bagi saya serta Beng Kiang, kami memang sudah meramalkan perkara ini sebelum aksi final lagi iaitu sama ada menjadi pemain yang bakal mencuri mata kemenangan atau perlu meraih mata untuk mengejar Indonesia.

“Dengan kedudukan 2-1, sudah tentu ia memberi kelebihan kepada Malaysia dan saya serta Beng Kiang berpeluang meraih mata kemenangan untuk negara,” katanya.

Menurutnya, meskipun berasa gementar dan tertekan, dia serta Beng Kiang tetap yakin mampu menewaskan Ricky-Rexy selepas melihat rekod pertemuan terdahulu yang memihak kepada pasangan negara itu.

“Ketika saya melakukan servis terakhir itu, bulu tangkis sedikit saja melepasi jaring dan ia membuatkan Rexy teragak-agak sehingga menyebabkannya hanya membalas pukulan separuh gelanggang sebelum Beng Kiang melakukan smash tajam.

“Sebaik bulu tangkis mencecah gelanggang lawan, saya serta Beng Kiang terus bersorak gembira sebelum rakan sepasukan menyerbu kami di tengah gelanggang,” katanya yang mengimbau kembali kemenangan 3-2 skuad negara ke atas Indonesia.

Selain Razif-Jalani Sidek yang turun selaku beregu utama tumpas kepada Rudy Gunawan-Eddy Hartono, Indonesia memperoleh mata kedua selepas Kwan Yoke Meng tewas di tangan Joko Supriyanto apabila turun sebagai perseorangan ketiga selepas kemenangan Soon Kit-Beng Kiang.

“Kemenangan itu umpama impian jadi kenyataan sebab sudah lama kami mengharapkan untuk memenangi Piala Thomas.

“Saya sendiri tidak dapat memberi gambaran sebenar suasana dalam stadium ketika itu. Yang pasti sangat bising dan cukup meriah,” katanya.

Soon Kit berkata, ketika itu juga dia berasa seperti tersedar daripada mimpi panjang, sekali gus menggambarkan bagaimana impiannya memenangi Piala Thomas menjadi kenyataan.

Ditanya apakah kunci kejayaan skuad 1992, Soon Kit berkata, BAM serta barisan pemain ketika itu hanya mempunyai satu sasaran iaitu untuk muncul juara.

“Itu saja sasaran yang berada dalam fikiran masing-masing. Lagipun ketika itu kita selaku tuan rumah, jadi memang peluang terbaik untuk menang,” katanya.

Menurutnya, salah satu faktor kejayaan adalah pasukan itu sebenarnya lebih awal dibentuk menerusi Projek 88/90 dengan 12 pemain dipilih ketua jurulatih ketika itu, Datuk Punch Gunalan serta Presiden BAM Tan Sri Elyas Omar.

“Rata-rata barisan pemain yang beraksi pada 1992 sudah mempunyai pengalaman beraksi edisi sebelum itu kerana dari Projek 88/90,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 9:53 AM