ANGGOTA forensik bomba dan penyelamat menjalankan siasatan rumah yang hangus.
myMetro

Chukai: Seorang remaja melecur di bahagian tangan ketika cuba memadam kebakaran di rumah kedai disewa ibunya dalam kejadian di Kampung Bati 16, Jalan Air Putih, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.20 malam, Nik Man Muhammad Sha, 16, pelajar tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Putih, melecur tangan kanan dari paras siku hingga hujung jari.

Ibu remaja itu, Wan Ruhani Wan Muda, 42, berkata, ketika kejadian, dia bersama Nik Man dan anak keduanya Nik Mah Muhammad Sha, 10, sedang bersiap untuk menutup kedai.

“Api yang bermula dari bahagian tengah rumah bangunan kayu ini dipercayai berpunca daripada litar pintas dan merebak ke bahagian ruang tamu serta bilik tidur rumah.

“Melihatkan keadaan berkenaan, anak lelaki sulung saya itu bertindak sendiri memadamkan kebakaran dengan membawa sebaldi air dan sanggup meredah api menyebabkan tangannya melecur,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Menurutnya, dia baru berniaga kedai runcit di situ sebulan yang lalu.

Suaminya Muhammad Sha Abdullah, 46, berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah kedai itu kerana bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah ladang kelapa sawit dekat Air Putih.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 10:17 AM