X
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Alor Setar serta Chuping masing-masing mencatatkan suhu melebihi 37 darjah Celsius, sekali gus meletakkan dua kawasan itu kekal pada paras ambang gelombang haba.

Berdasarkan info di laman web Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), suhu maksimum di kawasan Alor Setar pada jam 2 petang semalam adalah 38.8 darjah Celsius manakala Chuping, 38.5 darjah Celsius.

Suhu maksimum yang direkodkan di dua kawasan berkenaan sejak tiga hari lalu kekal melebihi 38 darjah Celsius dan orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar serta minum air dengan lebih kerap bagi mengelakkan dehidrasi serta strok haba.

Selain itu, tujuh kawasan lain di semenanjung juga merekodkan suhu maksimum melebihi 35 darjah Celsius.

Kawasan berkenaan adalah Batu Embun, 37.1 darjah Celsius, Temerloh (37 darjah Celsius), Prai (36.4 darjah Celsius), Lubuk Merbau, Melaka (36.8 darjah Celsius), Ipoh (35.5 darjah Celsius), Kuala Krai (35.6 darjah Celsius) dan Senai, 35.2 darjah Celsius.

Setakat ini, suhu tertinggi yang pernah direkodkan di Malaysia ialah 40.1 darjah Celsius di Chuping, Perlis sekitar 1998 iaitu semasa kejadian El-Nino melanda.

Manakala suhu normal di negara ini adalah antara 32 dan 33 darjah Celsius.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Madius Tangau dalam kenyataannya sebelum ini berkata, gelombang haba berlaku apabila suhu tertinggi harian mencapai atau melebihi 37 darjah Celsius untuk tempoh tiga hari berturut-turut bagi tempat itu.

“Tidak mustahil sekiranya suhu maksimum tahun ini boleh mencapai 40 darjah Celsius,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2016 @ 6:21 AM
PANORAMA mentari senja dirakam di Jalan Juru, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam.
PANORAMA mentari senja dirakam di Jalan Juru, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam.