KEADAAN blok kediaman pekerja yang terbakar.

Keningau: Lebih 300 penduduk bertempiaran lari menyelamatkan diri selepas lima blok kuarters rumah pekerja mereka musnah dalam kebakaran di rumah pekerja Kosinar Sdn Bhd, Sook, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.30 petang, sebahagian penduduk yang keluar bekerja di kilang meninggalkan kerja masing-masing dan pulang ke rumah dalam usaha menyelamatkan keluarga serta harta benda daripada hangus terbakar.

Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Keningau Abu Hassan Mohd Nawi ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 2.35 petang.

“Bomba mengambil masa hampir 40 minit untuk tiba di lokasi memandangkan kebakaran berlaku agak jauh iaitu 47 kilometer dari Keningau.

“Sebaik tiba, kami dapati api marak membakar beberapa blok rumah pekerja di kilang berkenaan, selain ada penduduk cuba menyelamatkan diri dan harta benda masing-masing,” katanya, di sini, semalam.

Kata Abu Hassan, api marak terlalu cepat disebabkan kedudukan blok rumah pekerja yang diperbuat daripada kayu itu berhampiran antara satu sama lain.

“Tambahan pula keadaan cuaca yang panas dan kering mempercepatkan lagi api merebak dari satu blok ke blok lain.

“Api hanya dapat dikawal beberapa jam kemudian dan operasi tamat jam 7.32 malam,” katanya.

Menurut Abu Hassan, tiada kemalangan jiwa dan kecederaan serius dilaporkan berlaku dalam kebakaran itu.

“Bagaimanapun, ratusan penduduk yang terdiri daripada pekerja kilang berkenaan hilang tempat tinggal berikutan lima blok kediaman musnah sepenuhnya akibat kebakaran itu.

“Setakat ini, kami masih menyiasat punca kejadian dan jumlah kerugian yang ditanggung mangsa termasuk kilang berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2016 @ 7:36 AM