NAJIB merasmikan Persidangan Teknologi Luar Pesisir Asia 2016, semalam.
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad


Kuala Lumpur: Keupayaan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) bertahan dalam keadaan ekonomi semasa dan kejatuhan harga minyak mentah dunia dengan kekal fokus kepada pencapaian hebat, amat mengagumkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, sejak pertengahan 2014 menyaksikan kejatuhan harga minyak mentah dunia, jatuh melebihi 70 peratus sekitar AS$30 setong.

Katanya, kejatuhan harga minyak mentah didorong penawaran berterusan minyak dari Amerika Syarikat, kemasukan semula Iran dalam pasaran dan keputusan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengekalkan pegangan sahamnya, sekali gus menyebabkan kelembapan pasaran dan permintaan.

“Ini memberi kesan kepada sektor ini. Lebih 250,000 pekerja dalam sektor minyak dan gas global diberhentikan, projek bernilai multi bilion dolar ditangguhkan atau dibatalkan.

“PETRONAS juga terpaksa melaksanakan pendekatan yang sukar untuk keluar daripada masalah ini. Selepas 42 tahun penubuhannya, PETRONAS menunjukkan ia mempunyai daya ketahanan sebagai organisasi kelas dunia.

“Ia terus mencatatkan kejayaan hebat dan kekal mampan dalam semua aspek persekitaran, sosial dan komersial,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Teknologi Luar Pesisir Asia 2016 (OTC 2016) di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Sidek Hassan serta Presiden dan Pengerusi Kumpulan PETRONAS Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Perdana Menteri berkata, antara kejayaan PETRONAS termasuk pelancaran fasiliti gas asli dan cecair (LNG) Terapung (PFLNG) pertama seumpamanya dikenali sebagai PFLNG Satu di Okpo, Korea Selatan.

Alat berkenaan, bakal ditempatkan di lapangan gas Kanowit, Sarawak pada tahun ini.

“Ini adalah pencapaian amat hebat bagi PETRONAS dan Malaysia. Penciptaan alat ini membolehkan kerja pengeluaran gas di kawasan terpencil dan tidak sesuai untuk dibangunkan dengan kaedah konvensional pengeluaran gas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2016 @ 8:25 AM