Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mencemar duli ke Majlis Jamuan Teh Bersama Rakyat Sempena Hari Keputeraan di Dataran Bandaraya Johor Bahru, semalam.
Oleh Redzuan Muharam


Johor Bahru: “Saya membelanjakan RM1,800 untuk membeli pelbagai barangan di Galeri Cenderamata sebagai kenangan sempena Sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor hari ini,” kata pengunjung Majlis Jamuan Teh Bersama Rakyat sempena Sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Dataran Bandaraya Johor Bahru, di sini, semalam.

V Veelmurugu, 44 berkata, antara barangan dibelinya mug, baju T, patung harimau dan jam tangan eksklusif untuk dia dan keluarga sempena sambutan berkenaan.

Bapa tiga anak itu berkata, barangan itu dijadikan koleksi dan bukan pembaziran memandangkan mereka sekeluarga rakyat Johor.

“Saya dan isteri (N S Sugunah, 38) serta tiga anak berada di Dataran Bandaraya Johor Bahru sejak jam 2 petang. Walaupun panas, kami puas kerana pertama kali dapat bersalaman dengan Tuanku selain membeli cenderamata di galeri di tapak acara.

“Ini cara saya dan keluarga menunjukkan rasa sayang dan taat setia kepada Tuanku yang selama ini prihatin dengan rakyat terutama Bangsa Johor,” kata ejen insurans itu.

Sementara itu, pelancong dari Sweden, Vanessa, 43, mengakui kagum melihat perpaduan rakyat negeri ini meraikan Sambutan Hari Keputeraan Sultan negeri ini dalam majlis berkenaan.

Menurut Vanessa, kehadiran ribuan pengunjung di Dataran Bandaraya Johor Bahru membuktikan Sultan Johor disayangi rakyat.

“Saya seronok kerana dapat menghadiri sambutan ini ketika bercuti di Johor. Saya perhatikan, Tuanku mempunyai sikap mesra dan mungkin sebab itu baginda disenangi rakyat,” katanya.

Lebih 10,000 rakyat negeri ini tidak melepaskan peluang meraikan sambutan itu dengan menghadiri Majlis Jamuan Teh Bersama Rakyat bermula jam 3.30 petang itu.

Turut mencemar duli Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah serta Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che Puan Khaleeda Bustamam,

Turut hadir, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Yang Dipertua Majlis Jumaah Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ismail Karim dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin Mufti Johor Datuk Tahrir Samsudin dan diteruskan dengan upacara memotong kek ulang tahun keputeraan.

Majlis diserikan persembahan nyanyian oleh Siti Nordiana dan artis jemputan lain serta tarian zapin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2016 @ 7:03 AM