PERLUMBAAN F1 yang berlangsung di Litar Sepang.
PERLUMBAAN F1 yang berlangsung di Litar Sepang.
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Umpama mimpi jadi kenyataan. Itu perumpamaan paling tepat menggambarkan kejayaan Malaysia membawa jenama Formula Satu (F1) apabila menganjurkan perlumbaan paling berprestij itu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 1999.

Ketika itu, seluruh dunia tertanya-tanya mampukah sebuah negara kecil di Asia Tenggara menganjurkan perlumbaan yang memerlukan komitmen cukup tinggi.

Segala persoalan itu akhirnya terlerai apabila perlumbaan F1 pertama pada 17 Oktober 1999 berlangsung dengan lancar tanpa cacat cela dengan Eddie Irvine dari pasukan Ferrari muncul juara sulung litar itu.

Kejayaan itu, sekali gus mencipta sejarah Malaysia apabila diangkat selaku negara pertama di Asia Tenggara mampu menganjurkan perlumbaan berprestij itu.

Namun sebelum itu, satu lagi perlumbaan berprestij iaitu Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) turut dianjurkan kali pertama di litar itu pada 20 April 1999.

Bagi bekas pemandu F1 negara Alex Yoong, SIC sentiasa memberi makna yang cukup mendalam buat dirinya kerana kejayaan menganjurkan perlumbaan berprestij itu juga seiring dengan kejayaannya memenuhi impian beraksi dalam saingan F1.

“Ketika itu, ia menjadi perbualan cukup hangat kerana kali pertama F1 dianjurkan di rantau ini. Bagi saya, tidaklah terlalu terkejut kerana sebelum itu kita sudah menganjurkan perlumbaan MotoGP di Malaysia sejak 1991.

“Saya gembira kerana sehingga kini kita tidak pernah terlepas menganjurkan F1 sejak 1999,” katanya.

Setahun selepas itu, Alex yang mempunyai pengalaman luas beraksi di luar negara akhirnya menjadi pemandu F1 pertama Malaysia beraksi pada perlumbaan berprestij itu, bermula di Grand Prix Itali selepas mendapat sokongan kerajaan.

“Secara asasnya, saya berpeluang menguji jentera Minardi dan ia berjalan dengan baik. Pihak Minardi bertanya jika saya mampu mendapatkan penaja, mereka mahukan khidmat saya,” katanya.

Tahun 2002 menjadi detik paling manis untuk Alex apabila berpeluang beraksi di depan penyokong sendiri.

“Itu detik paling bermakna untuk saya. Ketika dibawa memperkenalkan pemandu, penyokong menumpukan kepada saya dan detik itu diingat selama-lamanya,” katanya.

Di depan penyokong sendiri, Alex yang bermula dari petak ke-22 bermula baik apabila memotong rakan sepasukannya, Mark Webber pada awal saingan.

Namun, dia gagal menamatkan perlumbaan selepas mengalami kemalangan bersama Irvine dari Jaguar.

“Saya masih meneruskan karier dalam perlumbaan Audi dan GT Racing. Malah, saya muncul pemenang selama beberapa kali. Setiap kemenangan pasti satu kejayaan besar,” katanya.

Selepas 15 tahun meninggalkan perlumbaan F1, Alex masih berharap ada anak tempatan kembali beraksi pada perlumbaan berprestij itu.

“Kita mempunyai pelumba berbakat seperti Jazeman Jaafar, Weiron Tan dan Muhammad Nabil Jeffri. Mereka bersedia untuk bersaing di F1,” katanya.

Berbanding Alex, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini yang juga ikon awal permotoran negara dalam perlumbaan MotoGP, berpeluang untuk beraksi menerusi tiket wild card ketika perlumbaan itu dianjurkan buat kali pertama di SIC pada 1999.

“Sebagai rakyat Malaysia, sudah tentu saya berbangga kerana tidak saja dapat melihat SIC dari dekat, malah berpeluang berlumba di atas litar baru.

“Ketika itu, tak banyak yang saya fikirkan. Hanya melihat kemeriahan penonton yang memenuhi ruang tempat duduk.

“Yang saya fikirkan adalah litar di SIC sungguh luas dan ia membuatkan saya rasa berdebar,” katanya.

Shahrol kemudian dapat beraksi pada musim penuh bermula dari 2000 sehingga 2002 bersama pasukan PETRONAS Sprinta Racing menerusi kategori 250cc.

“Sudah pasti kenangan diingati dapat mengutip mata ketika berlumba di SIC pada 2002 selepas menduduki tempat kesembilan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2016 @ 7:22 AM