BANGKAI lembu yang ditemui dengan kesan gigitan di kepala dan belakang badan.

Kuala Pilah: “Dari jauh, saya ingatkan longgokan daun kering, tetapi sebaik dihampiri terkejut ia bangkai lembu dengan kesan gigitan di mulut dan belakang badan dipercayai dibaham harimau,” kata Razak Manat, 75, yang menemui bangkai lembu disyaki dibaham harimau di Kampung Talang Ulu dekat sini, semalam.

Dakwaan Razak diperkuatkan apabila dia turut menemui tapak kaki berhampiran bangkai lembu itu dipercayai milik haiwan itu kesan pergelutan antara kedua-dua haiwan berkenaan.

Menurut Razak, kejadian disedari sebaik dia keluar dari rumah jam 7 pagi sebelum ternampak objek seperti longgokan daun kering berhampiran rumahnya.

“Banyak kesan gigitan pada badan bangkai lembu itu menyebabkan saya ketakutan kerana tinggal berseorangan.

“Selama 40 tahun menetap di sini, ini kejadian pertama berlaku di kampung ini. Mungkin kampung ini menjadi sasaran berikutan ternakan seperti lembu dan kambing banyak berkeliaran.

“Cuaca panas dan penebangan hutan juga mungkin menjadi punca haiwan ganas itu berkeliaran mencari makanan dan tempat perlindungan di pinggir kampung,” katanya.

Katanya, bimbang dengan kejadian itu, dia terus menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Talang Ulu Abd Majid Jalani yang kemudian memaklumkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITIAN) Negeri Sembilan yang kemudian terus memasang perangkap pada hari sama.

“Setakat ini, belum ada lagi perkembangan dan saya juga belum mendengar sebarang bunyi pelik atau ngauman haiwan ganas itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN negeri Wan Mat Wan Harun berkata, beliau sudah menerima laporan kejadian itu dan pihaknya sudah memasang perangkap di lokasi kejadian.

“Siasatan awal tidak menolak kemungkinan ia harimau kumbang, namun siasatan lanjut masih dijalankan. Meskipun tiada lagi tangkapan, tetapi kami tetap memantau keadaan dari semasa ke semasa,” katanya.

“Penduduk kampung juga diminta berwaspada dan tidak membiarkan haiwan ternakan berkeliaran kerana boleh menarik kehadiran haiwan ganas itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2016 @ 7:38 AM