Sa'adiah (kiri) berkomunikasi menggunakan isyarat tangan dengan anaknya Nur Khairunnisa.
Garret Dawum
garret@hmetro.com.my


Kajang: “Kehilangan ayah sebagai tempat bergantung hidup ketika masih melanjutkan pelajaran tidak pernah mematahkan semangat kami untuk terus belajar dan tamatkan pengajian dengan cemerlang,” kata Nur Khairunnisa Abd Halim, 23.

Menurutnya, selepas ayahnya meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru 6 Mac lalu, ibunya, Sa’adiah Ahmad Saai, 58, hanya bergantung kepada pendapatan bulanan RM2,000 dalam menguruskan kehidupan mereka sekeluarga.

“Sejak ayah meninggal, ibu saya mengambil alih tugas keluarga. Nasib baik ibu bekerja sebagai kerani di sebuah hospital swasta dan dia sering melahirkan rasa bimbang terhadap pelajaran kami.

“Bantuan pencen penakat sebanyak RM1,895.83 sebulan ini akan kami gunakan sebaik mungkin dan apa yang diterima ini adalah satu berkat yang tidak ternilai dalam membantu meringankan beban ibu,” katanya ketika ditemui selepas menerima bantuan berkenaan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), semalam.

Dia yang hadir bersama ibu dan adiknya Nur Khairiyah Abd Halim, 20, adalah anak kepada Abd Halim Abdul Hamid, 53, pekerja di Jabatan Sumber Manusia The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad.

Bantuan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Menurut Nur Khairunnisa, kematian ayah banyak mengajarnya untuk berdikari dan tidak ingin menyusahkan sesiapa termasuk ibunya.

“Biarpun ayah baru meninggal 20 hari lalu, saya sudah mula berdikari termasuk mengemas rumah. Sebelum ini, kami dua beradik malas kemas rumah dan arwah ayah adalah orang yang paling tidak suka perkara itu terjadi.

“Saya sangat merindui celoteh arwah ayah yang suka membebel setiap kali balik dari pejabat. Nasihat ayah untuk belajar baik-baik akan saya ingat sebagai bekalan masa depan,” katanya.

Menceritakan detik terakhir bersama ayah, Nur Khairunnisa berkata, dia memaksa ayahnya untuk menerima rawatan di hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2016 @ 9:07 AM