ARTIS yang menemui peminat di AEON Big.
Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Kuantan: Selepas sambutan hangat di Alor Setar, Kedah dan Muar, Johor, Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt meneruskan ‘ledakannya’ di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 3, di sini, malam ini.

Bahang konsert mula dirasai sejak beberapa hari lalu apabila pentas utama dan khemah menempatkan ‘booth’ dibina, malah kain rentang dengan logo Harian Metro dan Yeo’s Yeogurt dinaikkan di sekitar padang berkenaan menarik perhatian orang ramai yang melalui Jalan Mahkota dan Jalan Besar.

Lebih menarik, konsert berkenaan diadakan sehari selepas akhbar ini menyambut ulang tahunnya yang ke-25 tahun, semalam.

Tinjauan di Padang MPK3 petang semalam mendapati proses persiapan akhir lokasi konsert berkenaan sedang giat dilakukan walaupun dalam keadaan cuaca panas.

Di satu sudut padang, terdapat ‘photo booth’ yang pastinya memberi peluang orang ramai bergambar dengan berlatar belakangkan logo 25 tahun Harian Metro.

Koordinator program, Husain Jahit berkata, seperti di dua lokasi sebelum ini, program konsert akan bermula jam 4 petang hari ini dengan pelbagai aktiviti disediakan untuk semua peringkat usia.

“Pada sebelah petang sebelum konsert bermula, kita mengadakan pelbagai aktiviti antaranya mini karnival, pertandingan mewarna, lukisan seni pasir, persembahan badut jalanan, belon sabun gergasi, sukaneka dan trak makanan.

Sementara itu, kehadiran artis terkenal pada acara sesi ramah mesra di AEON Big, East Coast Mall, dekat sini berjaya menarik perhatian hampir 300 pengunjung sempena Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s.

Menerusi siri jelajah ketiga itu, lima artis yang memeriahkan suasana ialah Forteen, Radhi OAG, Syamel AF 2015, Tasha Manshahar dan Drama Band.

Antara aktiviti yang diadakan ialah kuiz, permainan, sesi bergambar dan autograf.

Syamel berkata, dia teruja dan gembira dengan sambutan mesra pengunjung di lokasi ketiga itu.

“Peminat di sini sangat ‘sporting’. Malah mereka nampak teruja menyertai aktiviti yang disediakan.

“Lebih menggembirakan apabila mereka tahu lagu saya. Bagi saya itu sesuatu yang cukup istimewa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2016 @ 9:37 AM