MANGSA menunjukkan lidahnya yang cedera akibat digunting.
MANGSA menunjukkan lidahnya yang cedera akibat digunting.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Klang: Sekumpulan lima murid yang memakai topeng muka memaksa murid tahun dua sebuah sekolah rendah di Bukit Tinggi, di sini, mengeluarkan lidah sebelum mengarahkan mangsa memotong sendiri menggunakan gunting, Khamis lalu.

Tindakan itu menyebabkan mangsa yang berusia lapan tahun bukan saja menanggung kesakitan, malah lebih menyedihkan hujung depan lidahnya tidak dapat kembali kepada bentuk asal selepas dipotong.

Bukan itu saja, menurut doktor Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, yang merawat kanak-kanak itu, mangsa bernasib baik kerana jika lidahnya digunting lebih besar, dia kemungkinan akan pelat seumur hidup.

Walaupun masih trauma dengan kejadian itu, mangsa tetap bersemangat meneruskan sesi persekolahannya Isnin ini.

Wartawan Metro Ahad berkesempatan menemui mangsa di rumah keluarganya di Bukit Tinggi, semalam bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian berlaku ketika sesi rehat jam 3.45 petang itu.

“Ketika keluar dari tandas, saya ditahan lima murid lain yang memakai topeng muka sebelum empat daripada mereka memegang saya.

“Mereka paksa saya keluarkan lidah, tapi saya tidak mahu. Mereka menarik lidah saya dan memaksa menggunting lidah menggunakan gunting dibawa mereka.

“Saya takut kerana mereka ugut untuk tumbuk jika tidak mahu gunting. Disebabkan takut dengan ugutan itu, saya pun gunting hujung depan lidah menggunakan gunting hingga berdarah.

“Mereka terus pergi dan saya pula pulang ke kelas dalam keadaan lidah berdarah dan menahan kesakitan. Saya memaklumkan kejadian kepada cikgu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2016 @ 8:25 AM