TULISAN El Nino di belakang kepala Mohd Hisham.
TULISAN El Nino di belakang kepala Mohd Hisham.
myMetro

Segamat: “Niat saya hanya mengabadikan fenomena El-Nino menerusi ukiran perkataan di belakang kepala sambil berselfie kenangan,” kata Mohd Hisham Hashim, 39, yang menggunakan idea kreatif mendapatkan khidmat tukang gunting rambut membuat ukiran El-Nino pada kepalanya.

Mohd Hisham berkata, dia bertekad membotakkan kepalanya kerana tidak mahu terkesan daripada cuaca panas dihadapi negara ketika ini.

“Rasanya tidak pernah saya melalui cuaca panas seperti ini dan keadaan itu membulatkan tekad membotakkan rambut.

“Pada masa sama, saya mahu mengabadikan kenangan cuaca panas dengan mendapatkan khidmat tukang gunting rambut untuk berselfie bersama perkataan El-Nino di kepala,” katanya yang juga penduduk di Kampung Bendahara Lubok Batu di di sini, semalam.

Katanya, selepas proses mengukir tulisan El-Nino menggunakan pisau cukur di bahagian belakang kepalanya itu selesai dilakukan tukang gunting terbabit dia kemudian bercukur botak.

“Ini pertama kali saya mengukir kepala dengan tulisan dan bertujuan mengurangkan haba, selain menjadi imej saya yang gemar berambut pendek.

“Bukan saja menjimatkan kos menguruskan rambut dengan kadar bayaran RM10 untuk setiap kali guntingan, tetapi tempoh untuk menggunting rambut juga dapat dilambatkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2016 @ 6:59 AM