Skip this ad x
POLIS menahan suspek selepas disyaki menyamun pelancong warga Arab Saudi serta merampas teksi miliknya.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Kuala Lumpur: Mahu bayar tambang tetapi diberi penumbuk. Itu nasib dialami seorang pelancong warga Arab Saudi apabila disamun dan diserang seorang pemandu teksi.

Dalam kejadian jam 2 petang kelmarin, mangsa berusia 30 tahun dikatakan menaiki teksi itu dari Bukit Bintang sebelum berhenti di Jalan P Ramlee di sini.

Bagaimanapun semasa sampai di destinasi itu, mangsa yang mahu membayar tambang sebaliknya diacukan pisau oleh pemandu teksi berusia 53 tahun itu.

Sumber polis berkata, suspek kemudian merampas wang tunai milik mangsa berjumlah RM500.

Menurutnya, suspek kemudian melarikan diri dan meninggalkan mangsa dalam keadaan lemah di bahu jalan.

“Bertindak hasil laporan polis dibuat mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, polis kemudian menjalankan operasi bagi memburu suspek.

“Suspek ditahan jam 11 malam pada hari yang sama di hadapan sebuah kelab malam di Jalan P Ramlee.

“Dia (suspek) ditahan selepas berada dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan dijalankan,” katanya.

Sumber berkata, polis turut merampas teksi digunakan. Suspek kini direman untuk membantu siasatan.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 7:06 AM