myMetro

Melaka: Empat lelaki rakyat Filipina yang memiliki MyKad palsu menggunakan nama penduduk tempatan ditahan dalam operasi bersepadu dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di dua tapak binaan di Taman Perindustrian Cheng dan Bachang di sini, semalam.

Seorang daripada lelaki berusia 30 tahun itu mengaku memperoleh MyKad palsu menggunakan nama Harmizali Tabin @ Tahir, berusia 36 tahun, beralamat di Kampung Likas, Kota Kinabalu, Sabah.

Lelaki itu memberikan pelbagai alasan sebelum terpaksa ditahan.

“Saya dapat kad pengenalan ini jauh waktu kerja di Kuantan (Pahang) dulu. Saya tidak beli tapi kawan saya di sana namanya Jamil...dia yang beri,” kata lelaki itu.

Hasil siasatan awal mendapati tiga warga Filipina itu mengaku mendapatkan MyKad palsu dengan membayar RM200.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan JPN negeri Mohd Nasrom Yusof berkata, keempat-empat lelaki itu ditahan mengikut Peraturan 25(1)(e), Akta Pendaftaran Negara 1959.

Beliau berkata, operasi bersepadu diketuai JIM negeri bersama JPN dan AADK itu bermula jam 8 pagi dan berakhir 1 tengah hari.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan JIM negeri Mohamed Lamsah Othman berkata, serbuan membabitkan dua lokasi iaitu tapak binaan di Taman Perindustrian Cheng dan tapak binaan di Bachang di sini.

“Seramai 106 diperiksa dan kami menahan 68 warga asing termasuk dua lelaki tempatan.

“Di lokasi pertama di Cheng, kami menahan seorang lelaki tempatan dan 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) manakala di Bachang pula seorang lelaki warga tempatan dan 16 PATI ditahan,” katanya.

Menurutnya, mengikut pecahan warga negara, 31 lelaki Bangladesh, 12 lelaki dan seorang wanita Indonesia, 11 lelaki Myanmar, lima lelaki Pakistan dan Filipina, empat lelaki Myanmar, seorang lelaki Nepal dan dua lelaki tempatan.

“PATI yang ditahan dikesan melakukan kesalahan mengikut Perkara 39b, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Dua lelaki tempatan turut ditahan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana mengambil pekerja asing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2016 @ 10:05 AM
PEKERJA asing yang ditahan di tapak binaan di Taman Perindustrian Cheng.