Mustafa bersama Suriati serta bapa mentua, Hashim Awang dan anak ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Kepala Titi Sedim Karangan.
Suriati menjaga Mustafa yang menghidap penyakit barah otak.
myMetro

Seorang wanita, Suriati Hashim, 38, terpaksa berkorban apabila perlu menjaga suaminya, Mustafa Kamal Shaari, 42, yang disahkan menghidap penyakit barah otak tahap tiga.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu, Muhamad Aiman, 11, bukan saja perlu tabah, malah berdepan tekanan apabila hilang punca pendapatan selepas suaminya yang bekerja di sebuah kilang kotak di Nibong Tebal, Pulau Pinang, tidak lagi mampu mencari rezeki buat keluarga terbabit.

Namun, kasih Suriati kepada suaminya membuatkan dia meneruskan kehidupan mereka yang serba sulit itu, sekali gus memastikan keperluan orang yang disayangi sentiasa dijaga rapi.

Ikuti luahan Suriati kepada wartawan Nor Raidah Awang di rumah wanita itu di Kampung Kepala Titi Sedim Karangan, Kulim.

“Luluh hati saya apabila doktor mengesahkan suami dikesan menghidap barah otak tahap tiga ketika menjalani pemeriksaan pada November lalu.

Sebelum itu, suami sering mengadu sakit kepala dan mata sekiranya melihat matahari.

Bagaimanapun, saya menerima berita ini dengan tabah kerana yakin ia adalah ketentuan Ilahi, sekali gus dianggap sebagai ujian buat keluarga.

Sebelum ini, suami selalu mengadu sakit kepala tetapi dia hanya menyangka ia mungkin hanya sakit kepala biasa, namun keadaannya bertambah teruk kerana sebaik melihat matahari, dia seperti mahu muntah.

Melihat keadaannya semakin teruk, saya membawanya ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan, namun doktor hanya mengesyaki suami mempunyai simpton sakit kepala akibat migrain dan diberi ubat penahan sakit.

Namun, keadaannya masih tidak berubah, malah semakin teruk sehingga tidak mampu berdiri dan hanya terbaring, menyebabkan saya membawanya semula ke Hospital Kulim sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, untuk pemeriksaan lanjut.

Berikutan itu, suami terpaksa menjalani pemeriksaan MRI (Pengimejan Magnetik Resonans) di kepala dan doktor mengesahkannya menghidap barah otak tahap tiga dan perlu melakukan pembedahan segera pada Januari lalu.

Selama 22 hari suami ditahan di wad HSB sebelum dibawa pulang ke rumah. Alhamdulillah, keadaannya bertambah baik, tetapi kedua-dua matanya tidak dapat melihat lagi dan kini bergantung kepada ubat.

Kini, doktor mengesyorkan supaya pembedahan kali kedua dilakukan pada April ini, namun tiada jaminan untuk suami sembuh.

Melihat keadaan suami begini, saya tak sanggup nak mengharungi lagi pembedahan kerana mahu mencuba cara lain. Biarlah saya jaga dia.

Saya amat berharap dan percaya suami akan sembuh semula, selain akan berusaha untuk mengubati penyakit yang dihidapinya, namun saya berserah segalanya kepada Allah SWT.

Sebelum ini, saya tak tahu dia ada sakit (barah otak) itu, dan hanya tahu selepas sakitnya semakin kronik. Kalau saya tahu awal, boleh juga cuba mencari penawarnya, tetapi kini segalanya sudah terlambat.

Pada masa sama, saya mengalami masalah kewangan kerana tiada sumber pendapatan berikutan suami tidak boleh bekerja selain tiada kenderaan hingga terpaksa meminta bantuan ibu saudara untuk berulang-alik ke hospital bagi rawatan susulan mahupun pergi berubat.

Justeru, orang ramai yang bersimpati boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Public Bank 4-6159319-04 di atas nama Mustafa Kamal Shaari atau menghubungi saya di talian 013-4960780.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2016 @ 10:16 AM