DUA wanita turut ditemui melepaskan gian bersama pasangan mereka.
PELBAGAI barang penagihan dadah dijumpai dalam rumah didiami suspek.
Mohd Fadly Samsudin


Kuala Lumpur: Wajah bertukar pucat lesi sejurus pintu rumah dibuka. Lelaki berwajah cengkung jelas tergamam apabila mendapati sekumpulan anggota polis dan Agensi Antidadah Dadah Kebangsaan (AADK) berkerumun di hadapan kediamannya.

Lelaki berusia 30-an itu yang mendiami ‘flat zombie’ di Beringin, Kepong, di sini, terpaksa merelakan pihak berkuasa memeriksa kediamannya yang dijadikan syurga menagih dadah.

Lebih mengejutkan apabila lelaki itu didapati bersekedudukan bersama dua wanita dan seorang lagi lelaki yang turut ditemui di dalam kediaman itu.

Anggota penguat kuasa seterusnya menemui pelbagai barangan termasuk puluhan penyedut minuman dipercayai digunakan untuk mengambil dadah.

Ketika disoal siasat, lelaki memakai baju berwarna biru dan berseluar celoreng paras lutut itu mendakwa tinggal rumah berkenaan yang disewa daripada abangnya.

Dia mengaku berdaftar dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sebagai Orang Kena Pengawasan (OKP), namun tidak pernah melaporkan diri di balai polis seperti disyaratkan.

Dalam operasi Banteras Aktiviti Haram (BAH) Kementerian Wilayah Persekutuan di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Beringin, Kepong, di sini, malam kelmarin, seramai 62 individu ditahan dan diperiksa.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Adnan Md Ikhsan berkata, seramai 19 individu disahkan positif dadah ganja, heroin, methamphetamine, amphetamine dan ketamine.

Menurutnya, tumpuan utama operasi tertumpu ke kawasan Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin yang dikesan kerap menjadi tumpuan penagih dadah.

“Dalam serbuan itu, empat individu termasuk dua wanita yang tidak mempunyai sebarang hubungan sah diperiksa.

“Mereka dipercayai menjalankan aktiviti penagihan dadah dan rumah berkenaan sering menjadi tumpuan orang luar untuk melepaskan gian,” katanya ketika ditemui pada sidang media, di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya difahamkan rumah yang menjadi sarang aktiviti penagihan itu sebenarnya milik individu lain.

“Perbuatan itu sudah melanggar peraturan ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan sekiranya terdapat lagi kes seumpama ini, kita tidak teragak-agak untuk menarik semula rumah berkenaan,” katanya.

Operasi bersepadu itu disertai lebih 400 anggota agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), DBKL dan AADK.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2016 @ 9:50 AM