NOORSHAM mengajar anaknya menyiram kerbau peliharaannya.

Alor Gajah: Lazimnya kerbau dalam kandangnya di Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah, di sini, berkubang dalam lumpur sehari sekali, tetapi sejak musim kemarau sebulan lalu, dia terpaksa memandikan ternakan itu dua kali sehari.

Jika sebelum ini, Noorsham Mat Jan, 43, hanya perlu melepaskan 40 kerbaunya untuk mencari sendiri tempat berkubang di sekitar kampung itu, kali ini dia sendiri terpaksa ‘memandikan’ haiwan itu.

Musim panas yang belum menampakkan sebarang tanda akan berakhir menyebabkan Noorsham dan rakan kongsinya, Mohd Sham Daud, 32, terpaksa memastikan kerbau jika tidak dimandikan sekali pun, harus disiram dua kali sehari.

Kegagalan berbuat demikian menyebabkan 40 kerbau itu mengalami tekanan dan yang paling dibimbangi, haiwan berkenaan akan mengamuk bukan setakat bergaduh sesama sendiri, malah mencederakan mereka atau pekerja lain di ladang penternakan itu.

Ketika ditemui di kandang itu semalam, Noorsham yang turut memelihara kira-kira 200 lembu dan kambing berkata, dia tiada pilihan selain berbuat demikian bagi mengelakkan kerbau mengalami tekanan.

“Kerbau macam manusia juga, ada ketikanya ia mengalami tekanan. Kalau tidak dapat berkubang, sudah tentulah badannya menjadi panas.

“Tidak ada cara lain kecuali saya terpaksa memandikannya atau menembak air paip ke badan kerbau untuk menyejukkannya. Sedikit sebanyak ia boleh membantu menenangkan kerbau,” katanya.

Sementara itu, Mohd Sham berkata, ada pelbagai tempat berkubang di sekitar kampung itu terutama kawasan bekas tanah sawah terbiar, tetapi kebanyakannya sudah kering akibat kemarau.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2016 @ 5:06 AM