HASHIMAH menunjukkan kitab yang sudah dirumikan.

Putrajaya: Degil dan enggan dengar arahan. Itu yang berlaku apabila dua naskhah al-Quran iaitu mashaf ‘al-Quran Al Wasim’ dan mashaf ‘al-Quran Al Mumayyaz’ yang diharamkan penjualannya di negara ini didapati masih dijual secara atas talian.

Perkara itu didedahkan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) hasil daripada siasatan dilakukan terhadap segelintir pihak dan peniaga yang enggan akur dengan arahan Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini.

Kedua-dua al-Quran terbitan Indonesia itu diharamkan pengedarannya kepada orang ramai berikutan penulisan ayat al-Quran itu yang diubah kepada tulisan rumi.

Setiausaha Bahagian Kawalan dan Percetakan al-Quran Hashimah Nik Jaafar berkata, amaran itu bukan bertujuan untuk merampas sumber pendapatan peniaga sebaliknya mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pembaca al-Quran.

“Kami tidak menghalang mereka menjual al-Quran. Sebaliknya kami mahu memastikan pembaca menggunakan kitab terbitan yang sahih dan diluluskan mengikut Majlis Fatwa.

“Pembaca pula perlu menggunakan al-Quran yang betul sebutan ayat dan makhrajnya supaya tidak bertentangan dengan makna asal,” katanya.

Menurutnya, ada individu di laman sosial Facebook berang dan tidak bersetuju berhubung kenyataan dikeluarkan Pengerusi Lembaga Penapisan dan Perlesenan al-Quran (LPPQ) Tan Sri Dr Harusssani Zakaria mengenai penjualan dua al-Quran rumi itu.

Katanya, tindakan pembaca membeli al-Quran yang tidak ditapis dan diluluskan LPPQ secara atas talian adalah tindakan tidak wajar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2016 @ 8:52 AM