Najib bersama isteri yang juga Penaung Program PERMATA, Datin Seri Rosmah Mansor bersama pelajar Kompleks Permata Insan. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan (dua dari kanan) bersama isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin (kanan) dan Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr Musa Ahmad (kiri).
Raja Noraina Raja Rahim


Nilai: Keperluan terhadap pembentukan akhlak mulia semakin mendesak akibat masalah sosial yang menular dan ia menyebabkan penubuhan Kompleks Permata Insan terletak di dalam kampus Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dianggap sebagai tepat pada masanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, keseimbangan pendidikan duniawi dan ukhrawi adalah penting dalam melahirkan generasi baru yang berilmu pengetahuan dan agama tinggi untuk membangunkan negara.

Menurut Najib, usaha melahirkan generasi muda yang menghayati Islam secara menyeluruh, selain menguasai sains dan teknologi menjadi sebahagian agenda pendidikan negara.

“Kita mesti menyediakan generasi baru dengan ilmu duniawi dan ukhrawi yang seimbang. Dalam Islam juga tidak membezakan kedua-dua ilmu itu dan sekiranya kita mengasingkan satu daripadanya, maka tempanglah.

“Apatah lagi dalam konteks masyarakat kita sekarang ini yang terdedah dengan segala unsur sosial termasuk pengaruh media sosial selain masalah dadah, mat rempit dan ideologi kumpulan militan IS (Dais),” katanya ketika berucap merasmikan Kompleks Permata Insan USIM di sini, semalam.

Turut hadir, Penaung Program Permata Datin Seri Rosmah Mansor dan Naib Canselor USIM Prof Datuk Dr Musa Ahmad.

Kompleks Permata Insan dibina di tanah seluas 4.8 hektar dengan kos RM68 juta oleh Jabatan Perdana Menteri dilengkapi kemudahan asrama, blok akademik, blok informasi digital, dewan makan, dewan serba guna dan bangunan mercu tandanya iaitu Pusat Al-Abrar.

Seramai 113 penuntut diterima masuk ke situ sejak tahun lalu dan ia dilihat berjaya melahirkan penuntut yang boleh menguasai ilmu pendidikan duniawi dan ukhrawi menerusi kurikulum khas mengandungi empat komponen iaitu Modul Pintar al-Quran dan Sunnah, Bahasa Arab, Bahasa Inggeris dan Pembangunan Insaniah.

Najib berkata, dunia pendidikan sememangnya menjadi komponen utama yang akan menunjangi hasrat kerajaan melahirkan modal insan yang berpengetahuan, berakhlak, berkemahiran dan berdaya saing.

“Bertitik tolak kesedaran itu, kerajaan terus meningkatkan daya saing negara dengan memberi penekanan penguasaan pendidikan STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 yang menekankan penguasaan bahasa Inggeris, bahasa kebangsaan, kemahiran berfikir aras tinggi serta penguasaan pendidikan agama dan moral.

“Saya melihat Kompleks Permata Insan ini jelas mendepani Pelan Pembangunan Malaysia 2013-2015 kerana mengintegrasikan kurikulum kebangsaan berfokuskan aspek STEM dengan al-Quran dan sunah. Secara peribadi saya bangga dengan cetusan idea Datin Seri Rosmah selaku penaung untuk melahirkan semula cendekiawan Islam,” katanya.

Najib turut mengucapkan tahniah kepada USIM yang diberikan amanah untuk melaksanakan program peringkat menengah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 7:45 AM