Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Tindakan nelayan warga Vietnam menggunakan pukat gading untuk menangkap ikan di sekitar perairan negeri bukan hanya boleh menjejaskan tangkapan, tetapi turut merosakkan peralatan nelayan tempatan termasuk bubu dan unjang.

Berikutan tindakan keras kepala nelayan warga asing itu tanpa menghiraukan nelayan tempatan menyebabkan seramai 30 nelayan dari negeri ini berkumpul, di sini, semalam, bagi menyuarakan bantahan.

Nelayan tempatan itu turut mendakwa tidak berpuas hati terhadap tindakan segelintir pengusaha bot nelayan laut tempatan Kelas C2 yang menggunakan perkhidmatan warga Vietnam hingga menimbulkan banyak masalah kepada nelayan tempatan.

Bahiyuddin Awang, 30, dari Seberang Pintasan, Dungun berkata, dia menyarankan supaya pemilik lesen bot nelayan laut tempatan supaya tidak menggunakan perkhidmatan warga asing itu yang rata-rata tidak mempunyai perasaan hormat kepada nelayan tempatan.

“Mereka gemar menggunakan pukat gading yang jelas sekali menyalahi undang-undang untuk memperoleh jumlah tangkapan yang besar tanpa memikirkan akibat perbuatan itu.

“Selain mengganggu aktiviti nelayan tempatan menangkap ikan, perbuatan tidak bertanggungjwab itu juga menyebabkan unjang dan bubu nelayan hilang.

“Paling membimbangkan penggunaan pukat gading itu menyebabkan ekosistem termasuk tempat ikan membiak boleh musnah menyebabkan berlakunya kepupusan seterusnya menjejaskan hasil tangkapan nelayan pada masa akan datang,” katanya.

Bahiyuddin ditemui selepas sekumpulan nelayan mengadakan pertemuan dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 9 Terengganu, di sini, semalam.

Dia berharap pihak berkaitan dapat menyelesaikan masalah yang membelenggu nelayan tempatan supaya mereka dapat menjalankan aktiviti menangkap ikan dengan selesa tanpa gangguan pihak tidak bertanggungjawab.

“Pihak APMM perlu mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan terhadap nelayan warga asing itu dengan harapan mereka tidak sewenang-wenangnya menangkap ikan dengan rakus di perairan di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penguatkuasa APMM Terengganu Kapten Maritim Zainolabidin Jusoh berkata, pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan di perairan dan sejak Mac lalu, sebanyak 12 bot nelayan asing ditahan serta didakwa mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa lesen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2016 @ 10:09 AM
SERAMAI 30 nelayan membantah tindakan nelayan warga Vietnam yang menggunakan pukat gading.