PREMIS urut di Bandar Sultan Suleiman Klang diserbu polis.
myMetro

Klang: Rumah urut yang menjadi lokasi pilihan pemandu lori menghilangkan ‘keletihan’ selepas bekerja diserbu polis di Bandar Sultan Suleiman di sini, petang kelmarin.

Premis yang terletak di kawasan tersorok membolehkan ia terus ‘meriah’ dengan menerima kunjungan pelanggan tanpa bimbang kegiatan itu dikesan pihak berkuasa.

Namun, hasil maklumat awam dan risikan, sepasukan anggota Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara menyerbu premis berkenaan, kira-kira jam 6 petang.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, hasil serbuan itu, lima tukang urut terdiri wanita warga Thailand ditahan.

Beliau berkata, semua mereka berusia 20 hingga 30 tahun ditahan ketika leka melayan pelanggan dan tidak sempat melarikan diri.

“Berdasarkan risikan, polis mendapati premis berkenaan sudah menjalankan aktiviti tidak bermoral ini sejak dua tahun lalu. Lokasinya yang tersorok menjadi pilihan pemandu lori atau kontena untuk mendapatkan khidmat urutan daripada wanita warga asing terbabit,” katanya.

Katanya, memandangkan kawasan Bandar Sultan Suleiman dekat dengan pelabuhan dan kawasan perindustrian membolehkan pemandu lori mengambil kesempatan ‘berehat’ sambil diurut.

Menurutnya, polis turut menahan dua pelanggan yang sedang mendapatkan khidmat urut.

“Kita merampas tuala, minyak urut, tisu dan wang tunai. Tukang urut yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 55B, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1963,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2016 @ 8:36 AM