ANGGOTA bomba memadam rumah yang terbakar.
Zairee Mohd Yasak

Melaka: Tindakan nekad Junaidah Hatta, 46, yang meredah api untuk menyelamatkan arwah suaminya hampir menyebabkan dia turut rentung selepas terperangkap dalam bilik tidur utama rumah mereka di Taman Seri Paya Rumput 2, di sini, yang terbakar, jam 5 petang, kelmarin.

Ibu Junaidah, Tumisah Moin, 64, berkata, sejurus menyedari menantunya, Saleem Madumukkil Parambil, 50-an, gagal menyelamatkan diri, dia terus menghubungi Junaidah yang berada di restorannya di Cheng.

“Junaidah tiba kira-kira lima minit kemudian. Junaidah kemudian membasahkan pakaian dan menutup kepala menggunakan tuala sebelum meredah api untuk mencari suaminya.

“Saya dan suami tidak sempat menghalang tindakan Junaidah. Risau dengan keselamatan Junaidah, saya memujuknya keluar daripada bilik, namun dia enggan.

“Akibat cubaan itu, Junaidah melecur 20 peratus di kedua-dua belah tangan dan muka,” katanya ditemui ketika mendapatkan rawatan susulan di Hospital Melaka, semalam.

Tumirah berkata, terdahulu, sebelum kejadian, dia yang terhidu bau asap tebal memanggil arwah, namun tidak berjawab.

Tumirah kemudian beredar ke bilik bertentangan untuk menyelamatkan suami, Shamauddin Abdullah, 67, yang menunaikan solat Asar.

Walaupun bersolat, Tumirah menarik Shamauddin turun ke tingkat bawah kerana asap semakin tebal selain risau suaminya yang mengalami masalah penglihatan akan terperangkap.

“Sebaik menarik suami ke tingkat bawah, saya cuba masuk ke bilik tidur utama untuk mencari arwah, tetapi api marak menyebabkan saya membatalkan hasrat itu,” katanya.

Menurut Tumirah, sebelum kejadian, arwah pulang jam 2.30 petang untuk berehat kerana ia sudah menjadi rutin hariannya sebelum menyambung tugas menguruskan restoran pada sebelah malam.

“Tidak lama kemudian, arwah dilihat turun naik tangga seperti mencari sesuatu, namun ketika ditanya apa dicarinya, arwah hanya menjawab tiada apa-apa sebelum masuk semula ke bilik tidur utama.

“Saya tidak sangka ia adalah perbualan terakhir kami,” katanya.

Tumisah berkata, Junaidah kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka akibat melecur, namun keadaannya stabil.

Sehingga semalam, mayat Saleem yang juga warga India dan berasal dari Kerala ditempatkan di Jabatan Forensik Hospital Melaka sementara menunggu surat kebenaran pengebumian daripada Pejabat Suruhanajaya Tinggi India.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2016 @ 10:04 AM