Tengku Adnan (tiga dari kiri) menyerahkan unit Kit atasi masalah pembiakan nyamuk aedes di Menara DBKL, Jalan Raja Laut, semalam.
myMetro

Kuala Lumpur: Kementerian Wilayah Persekutuan mengambil langkah proaktif menangani wabak denggi dengan menyediakan 30,000 unit Kit Rumah Perlindungan Lengkap Denggi untuk penduduk Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, langkah itu susulan peningkatan kes denggi iaitu 2,347 kes di Kuala Lumpur manakala 131 kes di Putrajaya, masing-masing meningkat sebanyak 22.5 peratus dan 65.6 peratus berbanding tahun lalu.

“Pihak kami melihat peningkatan kes demam denggi ini amat membimbangkan dan boleh mengancam nyawa penduduk jika tiada tindakan diambil.

“Jadi, pengagihan kit pencegah denggi ini amat sesuai kerana dapat membasmi dan menghapuskan nyamuk aedes yang semakin banyak membiak terutama di kawasan perumahan dan di kawasan projek pembangunan terbengkalai.

“Di samping itu, penduduk Wilayah Persekutuan juga dapat mewujudkan kawasan tempat tinggal yang selamat dan bebas nyamuk apabila menggunapakai alat berkenaan,” katanya pada majlis pelancaran Projek Komuniti Bebas Denggi (KBD) di Dewan Megapuri, Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini, semalam.

Tengku Adnan berkata, tanggungjawab membasmi nyamuk aedes bukan hanya terletak pada Kementerian Kesihatan atau kerajaan saja, tetapi semua pihak termasuk penduduk perlu bekerjasama bagi memastikan makhluk pembunuh tiada tempat untuk membiak.

“Penduduk perlu membuat pemeriksaan di kawasan persekitaran dan menyertai gotong-royong yang diadakan pihak jawatankuasa perumahan atau Kementerian Kesihatan.

“Saya berharap masyarakat lebih peka dengan wabak berbahaya ini dan tidak menjadikan longkang, parit dan kawasan lapang sebagai tempat pembuangan sampah yang sudah tentu akan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2016 @ 10:07 AM