ANTARA peguam yang hadir kes perbicaraan Timbalan Pendakwa Raya Kevin Morais di Mahkamah Tinggi Duta.
Sarah Zulkifli


Kuala Lumpur: Perbicaraan hari keenam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais di Mahkamah Tinggi, semalam agak hangat ketika sesi soal balas oleh barisan pembelaan.

Pakar Perunding Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Nurliza Abdullah, 51, yang pada mulanya kelihatan tenang ketika pemeriksaan utama, kelmarin, dilihat ‘naik angin’ ketika disoal oleh peguam bela Datuk N Sivananthan dan Datuk Geethan Ram Vincent.

Ini kerana sepanjang sesi soal balas, saksi pendakwaan ke-11 itu dilihat sering diajukan soalan sama hingga beliau terpaksa memaklumkan Hakim Datuk Azman Abdullah bahawa beliau sudah memberikan jawapan sama beberapa kali.

Adakalanya, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Razak Musa juga membantah soalan diberikan berulang-ulang Sivananthan dan Geethan kepada pakar forensik itu mengenai beberapa isu termasuk penyebab kematian Kevin dan ketiadaan penemuan kuku tangan serta kaki pada mayat mangsa.

Terdahulu, Dr Nurliza memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak menemui kuku tangan dan kaki Kevin dalam karung guni ketika diarahkan melakukan bedah siasat ke atas mayat mangsa.

Ketika menjawab soalan Geethan sama ada beliau memeriksa karung guni selepas mayat dikeluarkan, Dr Nurliza berkata, pemeriksaan tidak dijalankan secara terus kerana perlu memberikan kepada polis semula untuk diserahkan kepada Jabatan Kimia bagi pemeriksaan lanjut.

GEETHAN: Adakah kamu melihat mayat Kevin dikeluarkan dari tong dram itu?

NURLIZA: Ya.

GEETHAN: Apabila mayat Kevin dibawa keluar daripada karung guni itu, apa yang kamu nampak?

NURLIZA: Simen, batu simen, batu kelikir, batu kecil, air dan cecair.

GEETHAN: Kamu sahkan yang kamu tidak menemui kuku tangan dan kaki mangsa?

NURLIZA: Ya.

GEETHAN: Apabila mayat dalam proses pereputan, kuku tidak akan lenyap. Bermaksud kuku telah jatuh, namun kuku tidak ditemui dalam karung guni?

NURLIZA: Tidak kelihatan pada jasad dan karung guni.

GEETHAN: Kuku boleh menjadi hancur?

NURLIZA: Boleh, tetapi bergantung pada faktor persekitaran. Masa yang lama, tidak boleh diberikan tempoh kerana berlainan kadar berlaku pereputan.

GEETHAN: Dalam masa sama kamu katakan kuku tangan dan kaki mangsa tidak ditemui walaupun dalam karung guni?

NURLIZA: Saya tidak menemuinya pada mayat mangsa.

GEETHAN: Siapa yang keluarkan mayat itu dari karung guni?

NURLIZA: Saya dan Dr Hafizam.

GEETHAN: Ketika dikeluarkan dari karung guni, ada tak periksa kuku mangsa dalam karung guni itu?

NURLIZA: Ketika itu, kuku tidak kelihatan.

GEETHAN: Saya cadangkan jika dalam masa 14 hari dia mati, pasti ada kuku dan tidak hancur dalam tempoh itu?

NURLIZA: Kemungkinan ada.

GEETHAN: Adakah alasan munasabah kuku tangan dan kaki mangsa tidak dijumpai?

NURLIZA: Saya tiada alasan munasabah.

Menjawab kepada Geethan sama ada terdapat kebarangkalian kuku kaki tertinggal pada stoking si mati ketika membukanya, Dr Nurliza berkata, kuku mangsa tidak kelihatan walaupun selepas membuat pemeriksaan.

GEETHAN: Siapa yang membuka pakaian si mati?

NURLIZA: Saya dan Dr Hafizam serta dengan bantuan.

GEETHAN: Kamu mengamati proses itu?

NURLIZA: Ya.

GEETHAN: Siapa yang membuka stoking yang dipakai si mati?

NURLIZA: Dr Hafizam.

GEETHAN: Adakah penelitian dibuat ketika stoking itu dibuka?

NURLIZA: Ada mencari kuku tetapi tidak jumpa.

GEETHAN: Saya cadangkan ini amat luar biasa tidak menemui kuku itu?

NURLIZA: Tidak setuju kerana jika proses pembusukan mayat berlaku, ia boleh berlaku.

GEETHAN: Bagaimana kuku mengalami proses pembusukan?

NURLIZA: Ia akan hancur tapi mengambil masa.

GEETHAN: Kemungkinan jasad sudah mereput di tempat lain dan kuku jatuh?

NURLIZA: Tidak ada kemungkinan.

GEETHAN: Jadi ke mana perginya kuku itu?

NURLIZA: Saya tidak tahu.

Pada 27 Januari lalu, enam lelaki, G Gunasekaran, 48, R Dinishwaran, 24, A K Thinesh Kumar, 23, M Vishwanath, 26, S Nimalan, 23, dan S Ravi Chandaran, 45, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan membunuh Kevin antara jam 7 pagi dan 8 malam, 4 September, 2015 antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan nombor 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.

Semua mereka berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan.

Kolonel Dr R Kunaseegaran, 53, pakar patologi tentera yang juga tertuduh pertama mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan bersubahat dengan enam lelaki itu dalam pembunuhan Kevin Morais di tempat, tarikh dan masa mengikut Seksyen 109, Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 302 kanun sama.

Kevin dilaporkan hilang pada 4 September tahun lalu. Beliau dilihat meninggalkan apartmennya di Menara Duta dengan menaiki Proton Perdana bernombor pendaftaran WA6264Q.

Mayat mangsa ditemui dalam sebuah tong dram yang disimen di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, pada 16 September tahun lalu.

Perbicaraan bersambung hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2016 @ 7:44 AM