RIBUAN orang menghadiri ceramah Dr Zakir di Padang Astaka, semalam.
Zatul Iffah Zolkiply dan Aslina Abu Bakar


Chukai: Umat Islam diminta mempertahankan Allah dan agama Islam, sekiranya dipersendakan golongan bukan Islam.

Pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik berkata, hampir setiap hari Allah dan agama Islam dipersendakan serta menjadi bahan gurauan bagi sesetengah golongan bukan Islam, tetapi kebanyakan orang Islam mendiamkan diri.

“Kita bercakap kita sayang Allah, tetapi apa kita lakukan apabila pencipta kita dan Islam dipersendakan orang lain.

“Saya tidak minta atau menyuruh anda untuk bergaduh, memukul atau mencederakan mereka, tetapi sekurang-kurangnya bersuara untuk menjelaskan keadaan sebenar, ” katanya ketika syarahan umum bertajuk ‘Muslim Choice-Dakwah or Destruction’ di Padang Astaka, di sini, malam tadi.

Hampir 30,000 orang termasuk Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman turut menghadiri syarahan umum itu.

Dr Zakir ketika ini dalam siri jelajah ke Terengganu dan Kemaman menjadi lokasi syarahan terakhir pendakwah antarabangsa itu.

Dalam pada itu, Dr Zakir berkata, umat Islam bukan hanya perlu memahami dan mendalami al-Quran, tetapi perlu menggunakan kitab suci itu untuk berdakwah.

Menurutnya, ketika ini, ada sesetengah golongan bukan Islam menggunakan al-Quran untuk menentang dan mempersoalkan Islam.

“Hal ini berlaku kerana mereka mendalami isi kandungan yang ada dalam kitab suci itu melebihi kita yang beragama Islam sehingga boleh berdebat dan mempersoalkan pelbagai kemusykilan yang berlaku.

“Ramai umat Islam pada masa kini hanya pada nama dan tidak mempraktikkan ilmu Islam itu secara mendalam dan sewajarnya.

“Lebih menyedihkan apabila ada sesama Islam menasihati kita untuk berbuat kebaikan, tetapi ada pula yang mengambil sikap sambil lewa dan meminta orang lain agar tidak mencampuri urusan mereka.

“Malah, dilahirkan sebagai umat Islam sesuatu perkara cukup menguntungkan dan sepatutnya kita wajib menjadikan al-Quran itu sebagai panduan dalam hidup kerana hidayah sudah diberi sejak awal lagi,” katanya.

Sementara itu, Dr Zakir ketika sesi soal jawab pula berkata, pergerakan Daish berkenaan sebenarnya terdiri daripada kumpulan antiIslam di Syria dan Palestin.

Menurutnya, Islam sebenar tidak akan melakukan keganasan, membunuh termasuk menyeksa kehidupan sesama manusia.

“Islam tidak akan melakukan keganasan dan membunuh secara kejam untuk mencapai sesuatu matlamat. Cara yang digunakan kumpulan militan ini sama sekali tidak terdapat dalam ajaran Islam.

“Apa yang dilakukan mereka lebih kepada ingin mencapai agenda tersendiri dengan menggunakan nama Islam sehingga menimbulkan kekeliruan dan persepsi negatif terhadap Islam itu sendiri.

“Kumpulan militan ini tidak seharusnya digelar kumpulan Islam kerana apa yang mereka lakukan jauh daripada suruhan Allah dan sebenarnya lebih cenderung membenci masyarakat di Syria dan Iraq,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2016 @ 8:06 AM