MOHD Mokhtar menunjukkan pistol dan senapang yang dirampas dalam serbuan di makmal memproses dadah.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


Kuala Lumpur: Sindiket pengedaran dadah dikesan semakin berani mencabar undang-undang apabila tidak saja secara terang-terangan memiliki markas dan makmal pemprosesan dadah di negara ini malah dilengkapi senjata api.

Beroperasi persis mafia, sindiket dadah didalangi warga tempatan dan asing dipercayai menyeludup senjata api dari beberapa negara jiran bagi melicinkan kegiatan mereka apabila diancam pesaing serta pihak berkuasa.

Lebih mengejutkan, ada sindiket pengedaran dadah memiliki bom tangan, raifal dan submesingan yang dibeli daripada sindiket pengedaran senjata api negara jiran sebelum diseludup masuk ke negara ini.

Mendedahkan kegiatan sindiket pengedaran dadah yang semakin berbahaya­ itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff memberitahu, sepanjang operasi dilakukan pihaknya dalam menumpaskan sindiket pengedaran dadah, polis juga merampas senjata api daripada kumpulan pengedar.

Beliau berkata, sepanjang 2015 saja, sebanyak 38 pistol, 27 senapang angin, 18 senapang buatan sendiri, tujuh senapang patah, empat revolver, submesingan, pistol angin dan 2,111 peluru hidup dirampas daripada sindiket pengedaran dadah.

Mohd Mokhtar memberitahu, sindiket itu semakin berani apabila turut memiliki bom tangan seperti mana yang berjaya dirampas dalam operasi antara Januari hingga Mac 2016.

“Dalam tempoh itu, sebanyak 15 pistol, 11 senapang angin, lima senapang buatan sendiri, empat raifal, dua bom tangan, dua senapang patah dan masing-masing satu revolver serta satu pistol semi automatik, dirampas.

“JSJN juga merampas 445 peluru dalam serbuan yang dijalankan,” katanya baru-baru ini.

Menurut beliau, hasil ketangkasan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) JSJN Bukit Aman banyak membantu melumpuhkan operasi sindiket pengedaran dadah biarpun mereka dilengkapi senjata api berbahaya.

“Kami tidak akan berkompromi. Polis sebagai barisan hadapan akan memerangi sindiket ini biarpun tahu berdepan risiko keselamatan dan nyawa,” katanya.

Difahamkan, sindiket pengedaran dadah kebelakangan ini terpaksa membeli senjata api dan membekalkan kepada anggota mereka berikutan ancaman diterima terutama operasi STING yang kerap dilakukan.

Ia bertujuan melindungi perniagaan bernilai jutaan ringgit itu daripada dimusnahkan dalam sekelip mata.

Difahamkan juga, sindiket pengedaran dadah ini diajar oleh mereka yang pakar dalam mengendalikan senjata api bagi melindungi diri ketika berbalas tembakan dengan musuh atau pihak polis.

“Apa yang pasti pihak polis tidak akan membiarkan sindiket pengedaran dadah terus bermaharajalela di negara ini kerana pihak berkuasa juga dilengkapi dengan senjata api canggih selain memiliki pegawai dan anggota terlatih di medan pertempuran,” kata Mohd Mokhtar.

Bercakap soal keberanian pegawai dan anggotanya dalam memerangi sindiket pengedaran dadah yang semakin berbahaya, Mohd Mokhtar berkata, biarpun kekuatan pihak polis terhad, mereka mempunyai semangat waja dalam memerangi jenayah.

“Polis mempunyai semangat peperangan Badar. Walaupun jumlah kami sedikit tetapi tidak gentar berhadapan dengan mereka (sindiket pengedaran dadah),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2016 @ 5:03 AM