Skip this ad x
MASTURA memakaikan topeng kepada Nur Aleesya Husna.

Kuala Lumpur: “Saya gembira adik semakin sihat, walaupun belum pulih sepenuhnya.

“Sekarang kami boleh dengar banyak gelak ketawanya berbanding sebelum ini cuma tangisan saja,” kata Muhammad Irfan Hairull Hafizal, 10, abang kepada Nur Aleesya Husna Hairull Hafizal berusia lima tahun.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Keramat itu berkata, kehidupan mereka sekeluarga berubah apabila adik bongsunya itu disahkan menghidap leukemia.

“Mama (ibu) jarang ada di rumah kerana menemani adik di hospital buat rawatan terutamanya kemoterapi.

“Masa itu saya rasa keluarga ini tidak sempurna. Saya dan abang (Muhammad Farhan, 11) banyak berdikari urus diri sendiri untuk ke sekolah,” katanya.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, penyakit dialami adiknya bagaikan mimpi ngeri buat mereka sekeluarga dan masih terbayang kerutan di wajah adiknya menahan kesakitan.

“Walaupun adik masih kecil, tetapi dia mempunyai semangat yang kuat, lebih-lebih lagi sepanjang menjalani rawatan kemoterapi.

“Setiap hari saya berdoa Allah menyembuhkan penyakitnya dan dia boleh menjalani kehidupan normal seperti rakan seusianya,” katanya.

Katanya, Nur Aleesya Husna kini lebih ceria dan aktif dan sangat suka makan nasi goreng serta kari ayam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2016 @ 7:33 AM