SEORANG lelaki melarikan tabung besi masjid dirakamkan CCTV di Masjid Buloh Kasap, Segamat.

Segamat: Dalam tempoh tujuh jam saja, dua penjenayah kembali semula ke Masjid Buloh Kasap, di sini, untuk mencuri wang dalam tabung derma selepas dipercayai kedatangan pertama mereka awal pagi semalam tidak mendatangkan hasil lumayan.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sekitar masjid berkenaan, kelibat dua lelaki terbabit dilihat melarikan sebuah peti besi dianggarkan seberat lebih 15 kilogram dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi.

Bagaimanapun, pada jam 9 pagi hari sama, CCTV turut merakam kelibat dua lelaki yang mirip individu sama, kembali ke masjid berkenaan dan salah seorang daripada mereka dilihat memotong mangga peti besi tabung masjid serta melarikan wang di dalamnya.

Bendahari Masjid Buloh Kasap, Mahari Jambul berkata, berdasarkan penelitian kedua-dua rakaman berkenaan, dia yakin penjenayah terbabit adalah individu yang sama.

Katanya, mereka kembali untuk mendapatkan hasil yang lebih lumayan selepas dipercayai peti besi yang dilarikan itu tidak mengandungi wang yang banyak.

“Dalam kejadian pertama, mereka memotong dan melarikan peti besi tabung sumbangan orang ramai tetapi mungkin disebabkan hasil yang tidak seberapa, mereka nekad kembali semula untuk mengambil tabung yang lain.

“Kali kedua mereka kembali, penjenayah itu berjaya membuka peti besi yang dijadikan tabung khas untuk kutipan dana menggantikan permaidani masjid dengan memotong mangga kunci,” katanya.

Katanya, pihaknya tidak dapat menganggarkan jumlah wang derma yang ada di dalam kedua-dua peti besi berkenaan, tetapi kejadian itu menyebabkan kerugian RM800 apabila dua tabung yang disediakan dilarikan dan dirosakkan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Mohd Kamil Sukarmi ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang meneliti rakaman CCTV bagi mengenal pasti identiti penjenayah berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya meminta orang ramai yang mengetahui atau menyedari kehadiran individu mencurigakan di kawasan sekitar masjid supaya menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di talian 07-9324222.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2016 @ 6:34 AM