LEYSVIN Pereira
Fazurawati Che Lah


Kuala Lumpur: “Setiap kali menatap mukanya, saya menangis, tidak sanggup saya melihat penderitaan yang ditanggung,” kata L Kasthuri, 26, ibu kepada bayi berusia tiga bulan, Leysvin Pereira yang menderita penyakit jantung berlubang.

Kasthuri berkata, Leysvin Pereira dikesan menghidapi penyakit itu ketika usianya sebulan dan terdapat tiga lubang di bahagian jantungnya.

“Mulanya dia mengalami masalah kuning ketika usia empat hari, tetapi kuning itu tidak hilang sehingga usianya sebulan.

“Dalam masa sama, degup jantung didapati sangat laju dan doktor mengesyaki Leysvin Pereira mengalami sakit jantung.

“Dari Hospital Selayang, Leysvin Pereira dibawa ke Institut Jantung Negara untuk pemeriksaan dan doktor sahkan di jantungnya ada tiga lubang sebesar enam milimiter dan memerlukan pembedahan segera,” katanya ketika ditemui di Hospital Gleneagles, di sini, semalam.

Menurutnya, kos sebanyak RM45,000 diperlukan untuk pembedahan menutup lubang di bahagian jantung bayinya dan ia menyebabkan dia dan suami, Andrew Pereira, 26, buntu memikirkan cara memperoleh wang sebanyak itu.

Sementara itu, S Keshika Sai, 2, turut berdepan masalah jantung berlubang, memerlukan RM45,000 untuk menampung kos pembedahan.

Ibunya, K Radha, 37, berkata, anaknya memerlukan pembedahan segera bagi mengelak organ dalaman dijangkiti kuman yang akan mengganggu tahap kesihatan dirinya.

“Setakat ini, dia hanya cepat penat dan sukar minum susu pakai botol kerana pernafasan terganggu.

“Doktor sarankan pembedahan dilakukan segera bagi mengelak lubang itu terus membesar,” katanya.

Bantuan boleh disalurkan kepada Media Prima-NSTP Humanitarian Fund dengan menyatakan nama pesakit di belakang cek dan hantar ke Jabatan Kumpulan Komunikasi Korporat Media Prima, Tingkat 1, Anjung Riong, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur.

Maklumat lanjut boleh hubungi talian 03-27248977.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2016 @ 6:49 AM