Fardy Bungga
fardy@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Jumlah dadah syabu yang dirampas Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman mampu menampung kegunaan 12 juta penagih dadah.

Itu angka menakutkan didedahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar susulan kejayaan STING Bukit Aman membongkar kegiatan makmal memproses syabu di Shah Alam, Selangor dan di Hutan Melintang, Perak, kelmarin.

Hasil serbuan itu, polis berjaya merampas 239 kilogram syabu yang sudah siap diproses dan masih dalam bentuk cecair di kediaman milik sindiket.

Menurutnya, seramai 10 individu lelaki berusia 23 hingga 42 tahun ditahan termasuk dalang yang juga pakar kimia.

“Suspek utama itu berperanan mengadun pelbagai jenis kimia untuk dijadikan dadah syabu.

“Operasi dan serbuan dilakukan bermula jam 4 pagi kelmarin terhadap dua makmal dadah serta sebuah stor penyimpanan syabu,” katanya pada sidang media di Bukit Aman semalam.

Beliau berkata, polis merampas peralatan memproses dadah selain 150 pil Eramin 5, 35 kilogram serbuk Ephedrin yang dipercayai bahan utama membuat syabu dan pelbagai bahan kima lain antaranya Acetone, Toulene, Red Phosphorus serta Caustic Soda.

“Polis turut merampas sepucuk pistol model Luger, satu kelopak bersama 38 butir peluru, wang tunai lebih RM2.8 juta, wang tunai Rupee 78,000, barangan kemas, 12 kenderaan dan dua motosikal.

“Antara kenderaan berjaya dirampas adalah model Toyota Hilux, Toyota Camry, Toyota Estima, Nissan Almera, Nissan Navara, Mitsubishi Triton dan beberapa lagi kenderaan lain,” katanya.

Khalid berkata, jumlah keseluruhan rampasan dadah itu bernilai RM36 juta manakala rampasan harta benda dianggarkan mencecah RM3.8 juta.

“Semua individu yang ditahan direman selama tujuh hari sehingga 26 April depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, beliau menegaskan kejayaan ini membuktikan keazaman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerjasama masyarakat dalam usaha membanteras aktiviti pengedaran serta penyeludupan dadah di negara ini.

“Polis menyeru masyarakat supaya terus memberikan kerjasama dalam menyalurkan sebarang maklumat kegiatan dadah bagi memastikan musuh nombor satu negara ini dapat dibendung dengan lebih berkesan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 7:08 AM
Khalid diberi penerangan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff.