Muhammad Hanif dibawa ke Mahkamah Majistret Temerloh atas dakwaan memiliki bahan ada kaitan dengan perlakuan pengganas.

Temerloh: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret, semalam atas pertuduhan memiliki barang yang mempunyai kaitan dengan aktiviti pengganas.

Tertuduh, Muhammad Hanif Ismail, 31, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain yang bertindak sebagai majistret.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Hanif didakwa melakukan perbuatan itu ketika ditahan berhampiran sebuah pasar raya di Kuala Lumpur, jam 1.20 pagi pada 24 Mac lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 130 JB (1) (a) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan penjara maksimum tujuh tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Rabiyatul Adawiyah Soupy manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Ahmad Zamzani kemudian menetapkan kes berkenaan disebut semula pada 9 Jun depan.

Beliau juga tidak membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 7:20 AM