SEBAHAGIAN pemandu teksi Bandaraya Shah Alam membantah penggunaan teksi Uber dan GrabCar di Shah Alam.

Shah Alam: Persatuan Teksi dan Kereta Sewa di bandar raya ini menggesa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggantung operasi Uber dan Grab sehingga kenderaan berkenaan diluluskan untuk beroperasi seperti teksi.

Pengerusi persatuan itu Yazid Mohd Yusof berkata, lambakan kereta Uber dan Grab menyebabkan industri teksi menjadi kucar kacir.

“Kewujudan mereka juga menyebabkan pelbagai tanggapan dan persepsi negatif dilemparkan kepada kami selain pendapatan kami susur hampir 50 peratus berbanding sebelum Uber dan Grab diperkenalkan.

“Justeru kami meminta pihak berkuasa memberi pengesahan berkenaan kenderaan persendirian itu digunakan mereka untuk membawa penumpang,” katanya pada sidang media di Seksyen 19 di sini, semalam.

Yazid berkata, pihaknya tidak menafikan Uber dan Grab lebih mendapat sambutan kerana tambang yang dikenakan lebih murah berbanding teksi.

“Mereka tidak menggunakan meter seperti kami selain tidak perlu membayar kos sewa teksi kerana menggunakan kenderaan persendirian.

“Kami menggunakan meter dan kadar tambang ditetapkan oleh SPAD, jadi ia tidak adil kepada kami jika pengguna tidak mahu menaiki teksi dengan menggunakan alasan tambang kami lebih tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 7:31 AM