ZAKIR Naik
Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: “Kegagalan kebanyakan pendakwah kita menarik golongan bukan Islam kerana mereka lemah dan kurang maklumat mengenai agama lain,” kata Ketua Program Dakwah dan Pengurusan Islam Universiti Sains Islam Malaysia Prof Madya Dr Kamaluddin Nurdin Marjuni.

Beliau berkata, Islam mengingatkan pendakwah supaya mereka menguasai serta memahami medan dan sasaran dakwah termasuk kepada bukan Islam.

Katanya, sekiranya gagal berbuat demikian, mereka ibarat tentera yang melakukan serangan terhadap musuh, namun malangnya tiada maklumat berkaitan lawannya.

“Kerana itu saya melihat kejayaan dunia dakwah Dr Zakir Naik menarik bukan Muslim kepada Islam kerana beliau berdakwah menggunakan tiga metodologi pendekatan iaitu pendekatan falsafah, pengajaran dan bermujadalah atau berdiskusi.

“Ini perlu diketahui oleh pendakwah lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengulas mengenai resipi kejayaan pendakwah antarabangsa itu dalam medan dakwah Islam di seluruh dunia.

Kamaluddin berkata, Dr Zakir menguasai sepenuhnya tiga metodologi berkenaan menerusi pendekatan ilmiah dan akliyah yang memerlukan analisis yang luas dan objektif.

Katanya, pendekatan berfalsafah itu bertujuan untuk menghidupkan pemikiran kerana golongan sasar menerima sesuatu itu lebih mendahulukan akal berbanding perasaan berikutan mereka golongan cerdik pandai atau pemikir dan kaum intelektual.

“Pendekatan kedua ialah melalui pengajaran untuk orang awam kerana pada umumnya daya akal fikiran mereka agak lemah dan sederhana, mereka lebih mengutamakan unsur perasaan daripada akal.” katanya.

Katanya, pendekatan terakhir iaitu secara diskusi atau bermujadalah kerana pada umumnya golongan sasar yang ketiga lebih terkehadapan pemikiran mereka berbanding yang lain.

“Namun perlu diingat bahawa pelaksanaan dialog bermaklumat ini masih dalam batas tertentu.

“Kejayaan menguasai tiga kaedah ini menjadikan Dr Zakir mudah menyampaikan mesej Islam sebagai agama yang memberi rahmat kepada sekalian alam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2016 @ 9:17 AM