KIMIA ephedrine untuk ubat selesema yang diseludup sindiket dadah untuk menghasilkan syabu.
KIMIA ephedrine untuk ubat selesema yang diseludup sindiket dadah untuk menghasilkan syabu.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Sindiket dadah syabu bernilai RM36 juta yang ditumpaskan polis Selasa lalu dikesan turut menyeludup serbuk pil selesema dari luar negara yang dijadikan bahan utama menghasilkan dadah.

Sumber polis berkata, sebanyak 34.94 kilogram kimia ephedrine yang digunakan untuk menghasilkan pil selesema ditemui polis di sebuah rumah di Bukit Rimau, Shah Alam, Selangor dalam serbuan dilakukan Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (Sting) Bukit Aman.

Menurutnya, kimia itu yang dipercayai diseludup dari China atau India amat penting dalam proses menghasilkan syabu berkualiti tinggi.

Difahamkan kimia ephedrine ialah prekursor dikawal ahli farmasi khusus untuk ubat selesema, namun kerap disalah guna bagi menghasilkan syabu.

“Hasil siasatan dilakukan mendapati sindiket akan memproses syabu di dua lokasi berbeza. Ahli sindiket akan mengadun dan memasak dadah syabu di sebuah rumah di Hutan Melintang, Perak.

“Cecair methoil yang dihasilkan kemudian akan dipindahkan pula ke sebuah rumah di Bukit Rimau, Shah Alam, untuk menjalani proses ‘mencuci’ dan dikeringkan,” katanya.

Dia berkata, ahli sindiket didapati mempunyai pengetahuan tinggi berhubung jenis kimia yang diperlukan bagi menghasilkan syabu.

“Ini berdasarkan penemuan pelbagai jenis kimia industri lain seperti acetone, toluene, fosforus merah dan caustic soda.

“Walaupun kimia ini dikawal dalam industri namun sindiket berupaya memilikinya. Semua kimia ini amat berbahaya berikutan ia boleh merosakkan sistem tubuh,” katanya.

Menurutnya, kimia acetone dan toluene digunakan sebagai pelarut di dalam banyak industri plastik, cat dan pelincir.

“Sementara itu kimia fosforus merah digunakan di dalam industri mancis, baja dan racun serangga. Kimia caustic soda adalah untuk meneutralkan asid dalam pelbagai industri.

“Semua kimia ini boleh memudaratkan tubuh apabila diadun bersama serbuk pil selesema itu,” katanya.

Hasil serbuan itu, polis merampas 13.28 kilogram (kg) syabu yang siap diproses dan 752 kg syabu yang masih dalam bentuk cecair di kediaman suspek.

“Ketika serbuan dilakukan, empat daripada 10 suspek yang ditahan cuba melupuskan dadah itu dengan membuangnya ke dalam lubang tandas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2016 @ 9:56 AM