Christine (duduk, tiga dari kiri) bersama ahli pemuda dan wanita UPP menyatakan peletakan jawatan mereka daripada parti itu, semalam.

Tindakan bekas Pengerusi Parti Rakyat Bersatu (UPP) Cawangan Batu Kawa, Liu Thian Leong yang mahu bertanding sebagai calon Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawa, memberi tamparan hebat kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang selama ini berusaha merampas kerusi itu daripada DAP.

Pengumuman itu dibuat selepas kepemimpinan Barisan Nasional (BN) negeri sudah bersepakat berhubung pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Negeri ke-11 (PRN-11) ini, termasuk membabitkan parti serpihan, UPP dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

Konflik dalaman membabitkan SUPP dan parti serpihannya UPP bagaikan tiada noktah apabila 30 ahli Pemuda dan Wanita UPP Cawangan Batu Kawa meletak jawatan daripada parti itu, semalam.

Christine Bong yang mewakili kumpulan itu berkata, keputusan itu dibuat untuk memberi sokongan penuh kepada Liu yang turut meletak jawatan dan keluar parti itu bagi menghadapi PRN-11 yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Kami mewakili Pemuda dan Wanita UPP Cawangan Batu Kawa meletak jawatan berkuat kuasa hari ini (semalam) dan ini sebagai tanda sokongan kami kepada Liu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2016 @ 10:46 AM