MOHD  Zaquan  menunjukkan bilik yang berselerak dimasuki  pencuri.
MOHD Zaquan menunjukkan bilik yang berselerak dimasuki pencuri.
KEDIAMAN  Mohd  Zaquan  yang dipecah masuk di Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang.
KEDIAMAN Mohd Zaquan yang dipecah masuk di Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang.

Johor Bahru: “I ni kejadian kali ketiga dan paling buruk pernah dialami sejak awal tahun ini,” kata pemain bola sepak Johor Darul Takzim II (Johor DT II), Mohd Zaquan Adha Abdul Razak selepas kediamannya di Taman Bukit Dahlia, Seri Alam, Pasir Gudang, dekat sini, dipecah masuk, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, kediaman suami kepada pelakon Ayu Raudhah Che Wan, 30, dipecah masuk tiga lelaki menyebabkan mereka kerugian RM200,000.

Mohd Zaquan, 29, berkata, dia mengetahui kejadian itu daripada jirannya ketika berada di Kota Kinabalu, Sabah berikutan perlawanan Liga Perdana antara Johor DT II menentang Sabah.

“Ketika itu jiran hadapan rumah menghubungi saya untuk memaklumkan kejadian pecah rumah yang disaksikan anaknya membabitkan tiga individu dengan menaiki Toyota Wish berwarna gelap.

“Kumpulan berkenaan meletakkan kereta berdekatan rumah sambil menekan hon panjang sebelum disusuli dua lelaki mencampakkan barang dari rumah kami,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Mohd Zaquan yang juga adik kembar kepada Mohd Aidil Zafuan berkata, dia meminta bantuan anggota Balai Polis Pasir Gudang untuk memantau keadaan rumahnya.

“Saya dimaklumkan anggota polis, rumah saya dipecah masuk melalui pintu belakang,” katanya ketika kejadian isterinya Ayu Raudhah serta dua anaknya, Muhammad Aisy Qaiser, 3, dan Muhammad Aisy Aryann, 2, berada di rumah keluarganya di Kuala Lumpur.

Menurutnya, sebaik tiba di Johor Bahru selepas selesai perlawanan di Sabah petang semalam, dia bergegas ke rumahnya untuk melakukan pemeriksaan.

“Saya terkejut apabila melihat keadaan rumah berselerak dan perompak dikesan masuk melalui bahagian dapur.

“Mereka membawa lari pelbagai barangan berharga termasuk 15 beg tangan berjenama milik isteri antaranya Dior, Prada, Chanel, Louis Vuitton serta jam tangan pelbagai jenis termasuk Rolex dan New Balance milik saya dan isteri,” katanya.

Dia berkata, dia juga kehilangan pakaian berjenama termasuk milik isterinya.

Katanya, rakaman menerusi kamera litar tertutup (CCTV) turut mengesan perbuatan kumpulan perompak berkenaan berlegar di luar rumahnya.

Mohd Zaquan berkata, kejadian itu kali ketiga berlaku dengan pertama membabitkan motosikal jenama Ducati yang dileraikan komponen pada awal tahun ini.

“Dalam kejadian kedua, penjenayah dirakam memanjat pagar jiran sebelum menyorok di luar rumah, namun gagal mengambil sebarang barangan,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Pasir Gudang, petang semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Jokhiri Abd Aziz berkata, siasatan secara menyeluruh termasuk meneliti rakaman CCTV dilakukan bagi mengesan suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2016 @ 8:46 AM