NAJIB melancarkan Projek Lebuh Raya Pan Borneo sambil disaksikan Joseph (kiri) dan Musa (dua dari kiri) di Kampung Andus, Papar, semalam.
Ardyhansah Amat
ardyhansah@hmetro.com.my

Papar: Kerajaan memperuntukkan RM12.8 bilion bagi pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Fasa Pertama membabitkan laluan empat lorong dua hala sejauh 706 kilometer (km) di negeri ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, projek mega itu adalah paling besar kepada negeri ini sejak menyertai penubuhan Malaysia pada 1963 dan beliau yakin ia akan memberi kesan positif terhadap penduduk setempat serta Sabah.

“Sebenarnya, sejak 53 tahun lalu, banyak projek pembangunan dilakukan di negeri ini termasuk industri minyak dan gas, pembinaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan sebagainya.

“Namun, jika dinilai, Pan Borneo adalah projek paling besar yang mendatangkan kesan kepada rakyat secara keseluruhannya,” katanya pada Majlis Pelancaran Projek Lebuh Raya Pan Borneo di Kampung Andus di sini, semalam.

Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman; Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Najib berkata, manifesto Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum yang lalu menjanjikan pembinaan lebuh raya itu dari Semantan, Sarawak sehingga ke Serudung, Sabah dalam tempoh lima tahun.

“Justeru, hari ini (semalam), BN datang mengotakan janji sebelum ini dalam usaha mengubah sosioekonomi rakyat tempatan. Pan Borneo (lebuh raya) mampu mengubah keseluruhan imej negeri ini, sekali gus meningkatkan taraf ekonomi penduduk,” katanya.

Menurut Najib, pembinaan lebuh raya fasa pertama itu dijangka siap sepenuhnya pada 31 Disember 2021.

“Ada tiga pakej terawal membabitkan Jalan Donggongon-Papar sejauh 11.4km, Jalan Tawau-Semporna sepanjang lima km dan Lahad Datu Bypass sejauh tujuh km yang akan diberikan kepada kontraktor pada masa terdekat.

“Keseluruhannya, pembinaan Pan Borneo ini merangkumi beberapa fasa antaranya dari Sindumin-Tuaran, Ranau-Lahad Datu-Tawau, Tawau-Kimanis-Kota Kinabalu dan Tamparuli-Ranau membabitkan kerja menaik taraf kepada empat lorong dua hala,” katanya.

Najib berkata, sebagai tambahan, Kerajaan Pusat turut bersetuju membina jalan pesisir pantai bermula dari Tuaran sehingga ke Kudat.

Pada masa sama, Najib berkata, pembahagian projek bukan saja membabitkan kontraktor Kelas A tetapi diagihkan secara sama rata kepada kontraktor Kelas F yang terdiri daripada rakyat tempatan.

“Saya berharap kontraktor terpilih dapat melaksanakan kerja sebaik mungkin dan tidak menjualkannya kepada pihak ketiga. Jika ada, kontraktor ini akan disenarai hitamkan dan digantikan serta-merta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 5:07 AM