Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Sebaik melangkah masuk ke pekarangan Sekolah Sri Seremban (SSS) di sini, hati tenang mendengar suara kanak-kanak mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran.

Ketika itu, mata dan telinga cuba mencari dari mana datangnya suara merdu terbabit. Secara tiba-tiba, pandangan beralih ke arah kanak-kanak lelaki yang duduk atas kerusi sambil matanya menatap senaskhah al-Quran atas meja.

Itulah kelunakan tahfiz muda, Muhammad Anas Ajwad Noor Hisham, 10, hingga membuatkan guru dan rakan sekolahnya terdiam, malah ada yang menghayati setiap bacaan di tempat perhimpunan sekolah.

Pada ketika itu, kanak-kanak tahun empat itu membacakan surah al-Quraish dengan taranum dan lancar. Siapa yang mendengar pasti terpegun, mana tidaknya kanak-kanak sekecil itu mampu mengalunkan kalimah suci dengan sempurna.

Mula mengenali dan mengaji sejak berusia empat tahun menjadikan Muhammad Anas Ajwad mampu menghafal beberapa surah al-Quran.

Kemerduan suara Muhammad Anas mengalunkan ayat suci sangat membanggakan guru sekolah. Malah, kehebatan Muhammad Anas menyebabkan ada yang merakam dan mengambil gambarnya mengaji sebelum memuat naik di Facebook.

Kisah kehebatan murid tahun empat itu yang membaca al-Quran di kawasan sekolah mendapat pelbagai komen positif yang memuji anak istimewa terbabit dan dikongsi hampir 100 pengguna Facebook.

Apa yang menariknya, Muhammad Anas memberitahu dia khatam al-Quran ketika di tahun dua dan kini berusaha menghafal setiap juzuk dalam al-Quran.

“Ayah dan ibu menerapkan budaya mengaji al-Quran di rumah setiap hari. Selain mengikuti kelas pengajian di sekolah, saya juga mengaji di rumah setiap malam selepas solat Isyak.

“Malah, ketika menonton televisyen dan bermain dengan rakan sebaya pada waktu petang, saya membaca beberapa ayat untuk menghafalnya,” katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan, semalam.

Muhammad Anas yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, ayahnya, Noor Hisham Mustafa, 38, dan ibu, Zanaliza Nor Mohammad, 35, menerapkan dia dan dua adik perempuannya berusia lapan dan empat tahun asas fardu ain dan mengaji al-Quran sejak kecil.

“Saya dan adik perempuan dihantar belajar di Sekolah Sri Seremban sejak prasekolah sehingga sekarang. Selain di rumah, saya juga belajar membaca al-Quran dan mengenali tajwid serta taranum di sekolah.

“Saya suka membaca al-Quran dan menjadikannya sebagai amalan setiap hari. Saya bercita-cita menjadi qari dan hafiz apabila besar nanti,” katanya yang terpilih menyertai program baru Astro Oasis iaitu Tahfiz Muda.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SSS, Khalil Jali berkata, pihaknya menjadikan kelas pengajian al-Quran sebagai subjek wajib kepada 1,200 murid dan pelajar sekolah berkenaan.

Beliau berkata, kelas pengajian itu diadakan secara berperingkat bermula murid tahun satu sehingga pelajar tingkatan lima seawal jam 7.30 pagi hingga 12 tengah hari.

“Dalam masa satu jam, mereka belajar mengaji dengan guru sekolah dan guru khas yang dilatih. Sekolah meletakkan sasaran murid dapat khatam al-Quran di tahun tiga dan setakat ini, kita mencapai sasaran ditetapkan.

“Untuk rekod, 36 murid tahun satu khatam al-Quran tahun lalu, berbanding 16 murid pada tahun sebelumnya. Pencapaian itu berkat usaha guru dan kerjasama ibu bapa,” katanya.

Katanya, sekolah mempunyai sesi pembelajaran seperti sekolah aliran kebangsaan, namun membuat kelainan dengan mengadakan kelas asas fardu ain, mengaji al-Quran dan bahasa Arab pada masa sama.

“Di sekolah aliran kebangsaan, murid belajar subjek biasa pada waktu pagi dan selepas waktu persekolahan, mereka menghadiri kelas fardu ain pula. Berbeza di ini yang menyeimbangkan kedua-dua pembelajaran itu dengan meletakkan sesi pembelajarannya berselang-seli,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2016 @ 10:18 AM