SITI Nurani berkongsi kejayaan bersama ibu bapanya.

Shah Alam: Graduan Ijazah Sarjana Muda Perbankan Islam, Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjadikan bapanya yang juga orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan sebagai inspirasi untuk menamatkan pengajian pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-84, di sini, semalam.

Siti Nuraini Zakaria, 26, berkata, dia sangat gembira kerana dapat berkongsi kejayaannya itu bersama ibu bapanya yang cacat penglihatan.

“Ayah saya berjaya belajar sehingga peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan kini bergelar pensyarah kanan di sebuah universiti swasta walaupun mempunyai keupayaan terhad.

“Pada awalnya saya mengambil jurusan rekaan dalaman di peringkat diploma, namun menukar kepada perbankan Islam kerana lebih meminati bidang perakaunan.

“Bertukar kepada jurusan lain menyebabkan saya seperti mengulangi semula dan ia menambahkan masa setahun lagi untuk tamat namun saya perlu tempuhinya,” katanya.

Sementara itu, ibunya Toriah Salim, 60, berkata, sebagai ibu, dia sentiasa menyokong keputusan anaknya.

Katanya, dia lega kerana anak keduanya itu menamatkan pengajian dan bekerja dalam bidang diminati.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2016 @ 7:10 AM