GANJA mampat dan pil Eramin 5 yang dirampas daripada pelajar IPT, semalam.
Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) ditahan bersama satu ketulan mampat dipercayai ganja dengan anggaran berat 1.02 kilogram di depan pasar raya di Seri Iskandar, dekat sini, awal pagi semalam.

Pemuda berusia 22 tahun yang berasal dari Pulau Pinang itu ditahan jam 2.45 pagi dan turut ditemui bersama suspek 19 pil Eramin 5 selain RM472.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Abd Rahim Hanafi berkata, tangkapan dibuat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah susulan hasil maklumat awam dan risikan.

“Penuntut itu dikesan bersama kereta Proton Waja di depan premis berkenaan dan selepas pemeriksaan dijalankan, polis menemui dadah berkenaan yang dianggarkan bernilai RM2,000 mengikut harga pasaran.

“Ketulan mampat dipercayai ganja itu ditemui di bawah tempat duduk pemandu dan pemeriksaan turut menemui 19 pil Eramin 5 yang dianggarkan seberat 5.22 gram,” katanya selepas Perhimpunan Sambutan Ulang Tahun ke-46 Kor Kadet Polis Peringkat Kontinjen Perak di Pangkalan Latihan Gerakan Udara Polis, di sini, semalam.

Menurutnya, ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif ganja.

“Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti dari mana suspek mendapat bekalan dadah terbabit dan semakan mendapati kenderaan digunakan milik ahli keluarga suspek.

“Penuntut berkenaan kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya.

Sementara itu, mengenai Kor Kadet Polis Kontinjen Perak, Abd Rahim berkata, di negeri ini ada 256 platun membabitkan 9,590 ahli termasuk pelajar dari 168 sekolah seluruh Perak.

“Saya harap jumlah ahli Kor Kadet Polis dapat ditingkatkan lagi kerana setakat ini 168 daripada keseluruhan 247 sekolah menengah yang mengambil bahagian menubuhkan pasukan berkenaan.

“Saya harap sekolah yang selebihnya turut dapat menubuhkan Kor Kadet Polis kerana saya percaya pasukan ini satu cara didikan awal dalam membina jati diri dalam kalangan pelajar yang bakal menerajui negara pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2016 @ 10:16 AM