CHE Minah (kanan) menguruskan Nurhanani.

Kota Bharu: Ibu tunggal, Che Minah Awg Ahmad, 61 dari Kampung Chica, Berek 12, di sini, dia tidak pernah mengeluh biarpun dikurniakan anak kurang upaya (OKU).

Ketika insan seusianya sudah mampu bekerja dan berkahwin, Nurhanani Mat Hassan, 23, masih terlantar dan tidak mampu menguruskan diri kerana menghidap sindrom Down dan masalah otot sejak dilahirkan.

Che Minah berkata, anak kelima daripada enam beradik itu memerlukan perhatian lebih kerana tidak mampu menguruskan diri sendiri sejak dilahirkan.

Katanya, sehingga kini, anaknya itu masih memerlukan bantuan sepenuhnya apabila makan dan minumnya perlu disuap selain perlu memakai lampin pakai buang serta dimandikan

“Ketika Nurhanani berusia dua minggu, otot sebelah kanan badannya tiba-tiba menjadi keras sehingga tidak mampu menggerakkan badan sendiri.

“Pelbagai ikhtiar diambil termasuk kaedah moden dan tradisional, namun keadaannya masih tidak berubah.” katanya ketika di temui di rumahnya di sini.

Menurutnya, sebelum ini, tugas menjaga Nurhanani dilakukan bersama bekas suaminya, namun kini dia terpaksa menggalas tanggungjawab itu sendirian selepas diceraikan lima tahun lalu.

“Walaupun pelbagai ujian yang datang, saya tetap tabah membesarkan anak istimewa ini kerana dialah semangat untuk saya meneruskan kehidupan di hari yang mendatang,” katanya.

Katanya, untuk menyara keluarga, dia bekerja di sebuah restoran di Kota Bharu dengan pendapatan RM30 sehari yang digunakan untuk membayar sewa rumah, bil air dan juga elektrik.

“Walaupun pendapatan diperoleh tidak seberapa, saya tetap bersyukur kerana rezeki yang dilimpahkan Allah membolehkan kami sekeluarga hidup dengan baik.

“Meskipun anak-anak lain sudah besar dan berumah tangga, saya tidak mahu menyusahkan mereka kerana masing-masing mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga,” katanya.

Che Minah berkata, dia bersyukur dua anak perempuan yang masih tinggal bersamanya turut membantu menguruskan Nurhanani.

“Apabila saya bekerja pada waktu pagi, penjagaan Nurhanani diuruskan kakaknya, Nur Hazira, 28, dan adiknya Nur Hamimi, 22, yang tinggal bersama.

“Saya tidak berani meninggalkan dia (Nurhanani) bersendirian kerana dia tidak mampu bergerak apatah lagi menguruskan diri sendiri,” katanya.

Menurutnya, setiap bulan, dia perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM300 untuk membeli lampin pakai buang dan juga makanan untuk Nurhanani.

“Alhamdulillah, dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima setiap bulan sebanyak RM300 dapat digunakan sepenuhnya untuk membeli barang keperluan Nurhanani,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2016 @ 7:57 AM