NURIZAH menyusukan Muhammad Adam Rayyan di rumahnya di Perumahan Kampung Pak Mahat.

Kuantan: “Doktor memberitahu penyakit cucu saya ini sukar disembuhkan, namun saya tetap percaya Allah SWT sentiasa ada untuk bantu pulihkan dia,” kata Nurizah Ramli, 39, nenek kepada Muhammad Adam Rayyan Rizqi Aiman Hakim.

Muhammad Adam Rayyan Rizqi yang berusia 10 bulan menghidap penyakit Hidrosefalus atau lebih dikenali sebagai penyakit kepala besar sejak dalam kandungan ibunya, Nur Azira Abdullah, 19.

Kisah bayi itu sebelum ini pernah mendapat liputan media termasuk Harian Metro sehingga kerajaan negeri menanggung sepenuhnya kos rawatan Muhammad Adam Rayyan Rizqi.

Nurizah berkata, selepas cucunya menjalani pembedahan baru-baru ini, keadaannya semakin baik dan saiz kepalanya turut mengecil sedikit.

“Pembedahan itu dilakukan untuk memasukkan wayar dari kepala sehingga ke pundi kencing. Ini menyebabkan saiz kepala cucu saya mengecil sedikit daripada 70 sentimeter kepada 68 sentimeter.

“Namun, untuk memastikan wayar itu tidak tersumbat, Muhammad Adam Rayyan Rizqi perlu memakan empat jenis ubat yang agak mahal harganya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Perumahan Kampung Pak Mahat, di sini, semalam.

Katanya, kos ubat untuk cucunya itu kira-kira RM1,500 sebulan dan dia tidak mampu menanggung berikutan pendapatannya yang tidak seberapa sebagai tukang jahit.

“Ubat berkenaan hanya ada di hospital swasta jadi saya kena pastikan dia makan ubat supaya wayar tidak tersumbat. Jika tersumbat, ia akan menyebabkan kepalanya bertambah besar,” katanya.

Nurizah berkata, cucunya juga sering demam kerana terlalu sensitif terhadap persekitaran.

“Saya hanya lapkan badannya dengan air supaya suhu badannya turun. Susu pula saya sudah tukar kepada susu biasa kerana tidak mampu untuk memberikannya susu formula khas,” katanya.

Dalam pada itu, Nurizah memaklumkan sebelum dilahirkan, pihak hospital sudah mengesahkan cucunya menghidap penyakit berkenaan dan mereka sekeluarga menerima ‘khabar duka’ itu dengan penuh sabar selain hanya mampu berdoa.

“Penantian itu menjadi lebih tertekan apabila doktor Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAH), Temerloh, mengesahkan kedua-dua belah pahanya patah ketika proses kelahiran,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Nurizah di talian 01112153117.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2016 @ 7:58 AM